Kuala Lumpur - Pas bersedia berbincang dengan BN bagi menjalin kerjasama dengan perikatan itu dalam aspek kebajikan rakyat, kata Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Mengulangi pendirian kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan BN, beliau bagaimanapun menjelaskan kerjasama itu bukan untuk mencapai kepentingan politik.
"Kami (Pas) sentiasa menunggu jemputan daripada kerajaan sama secara rasmi atau tidak. Yang penting kerajaan panggil kami untuk berbincang. Kami mahu bagi sumbangan untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.
Katanya, Pas terbuka untuk bertemu kerajaan serta bersedia menyumbang pelbagai idea bagi membela nasib rakyat di negara ini.
Ditanya kemungkinan kerjasama itu berniat meraih undi untuk pilihan raya umum akan datang, Nik Mohamad Abduh berkata: "Ini bukan langkah berunsur politik tetapi demi kebaikan untuk rakyat. Kami akan kekal sebagai pembangkang dan tiada niat untuk sertai BN."
Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk BN dalam perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pembangkang bagi memantapkan agenda pembangunan serta kemajuan rakyat.
"Sebelum ini Pas sentiasa terpinggir kerana Pas dianggap sebagai musuh. Kalau kerajaan mahu berubah, mesti ambil pandangan pembangkang untuk bincang isu-isu berkaitan," kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor