Tumpat - Sebuah kedai vape (rokok elektronik) kerugian RM30,000 selepas dimasuki dua perompak bersenjatakan parang dalam kejadian di Kampung Pasir Pekan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, salah seorang perompak mengacukan parang di leher pekerja kedai dan kemudiannya mengambil pelbagai jenis vape di dalam almari dengan mengisinya ke dalam guni.
Perompak terbabit kemudiannya melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Wira menghala ke bulatan Pasir Pekan.
Semasa kejadian, hanya dua pekerja berada di dalam kedai tersebut, manakala pemiliknya, Mohd Arif Junaidden, 26, berada di tingkat atas.
Mohd Arif berkata, dia mengetahui kedai dirompak selepas pekerjanya naik ke tingkat atas dengan tangan terikat.
“Saya turun ke bawah tetapi sudah terlambat kerana perompak telah melarikan diri.
“Pelbagai jenis vape, bateri dan aksesori vape lesap, semuanya dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.
Menurutnya, pekerjanya juga tidak dapat mengecam muka perompak terbabit kerana memakai topeng muka dan sarung tangan.
"Kejadian berlaku amat pantas. Pekerja didatangi dua perompak terbabit yang pada mulanya disangka pelanggan selepas ternampak kelibat di luar pintu kaca kedai.
“Pintu besi kedai dah tarik separuh, jeriji tidak dikunci. Apabila perompak berada depan pintu, pekerja saya nampak kaki mereka yang disangka pelanggan dan membuka pintu,” katanya.
Mohd Arif berkata, ketika pekerjanya menjenguk kepala ke luar pintu, salah seorang perompak terus mengacukan parang di leher dan mengarahkan masuk ke dalam kedai dan mengikat tangannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor