Pages

Thursday, November 5, 2015

'KAU TUNGGU, KAU BELUM KENAL AKU LAGI'


Mahkamah


Kuala Lumpur - Padah mengugut pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Ogos lalu, seorang bekas penjual tiket bas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Amir Hamzah Abd Mutalib, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Tertuduh yang kini merupakan seorang penganggur didakwa menakutkan secara jenayah kepada pegawai itu, Hairul Najib Othman, 27, dengan mengugut "kau tunggu, kau belum kenal aku lagi," yang menyebabkan ketakutan kepada mangsa. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pudu Sentral, Jalan Pudu, Dang Wangi, di sini pada pukul 10.40 pagi, 12 Ogos lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam menawarkan wang jaminan RM4,000 bagaimanapun tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan dia perlu menyara seorang anak berusia dua tahun dan isteri yang sedang mengandung.

Majistret Erry Shahriman membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor