Pages

Friday, November 13, 2015

JANGAN CABAR SAYA, KATA JAMAL


Jangan cabar saya, kata Jamal


Sabak Bernam – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengingatkan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim supaya tidak mencabarnya menjadi calon BN bagi bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar kerana soal calon hanya boleh ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Jamal berkata, siapa saja calon BN bertanding terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan dan sebagai ahli parti beliau hormati apa jua keputusan bagi menjamin kemenangan pada PRU14, sekali gus mengekalkan kerusi Parliman Sungai Besar.

“PRU14 lama lagi, mungkin lagi tiga tahun. Kita pun tak tahu, kalau esok lusa kita mati. Pilihan raya tak lari ke mana kerana mesti dan akan diadakan. Siapa pun bertanding itu bukan masalahnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia berkata, buat masa ini, beliau hanya memberi tumpuan dalam Umno bagi menggerakkan jentera dan sokongan rakyat terhadap parti selaras dengan jawatannya sebagai ketua bahagian.

“Saya bukan wakil rakyat. Kenapa perlu cabar-mencabar, sebaliknya beliau sebagai wakil rakyat jalankan tanggungjawab dan amanahnya di Sekinchan terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan dan perkembangan yang berlaku di Dun Sekinchan terutama dalam sektor penanaman padi merupakan perancangan yang telah dibuat sejak pentadbiran BN di kawasan itu sebelum kehadiran Suee Lim.

Jamal berkata, kawasan Dun Sekinchan membangun hasil daripada kerja keras Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon yang kerap kali turun padang meninjau permasalahan rakyat di kawasan itu.

“Saya ingin bertanya kepada Suee Lim apakah kebajikan dilakukan beliau untuk penduduk khususnya orang Melayu di Sekinchan? Kalau ada minta beliau senaraikan apakah sumbangan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang wakil rakyat, Suee Lim juga tidak serius dalam mengeluarkan sebarang hujah dan pendapat semasa Sidang Dun Selangor berhubung kenyataan kontroversinya yang meminta supaya kerajaan negeri menukar nama Bagan Nakhoda Omar kepada nama Cina.

“Sidang Dun bukan gelanggang maharaja lawak. Sepatutnya beliau guna peluang berucap perkara beri manfaat kepada rakyat dan bukan menyinggung perasaan kami.

“Beliau wakil rakyat yang memerintah negeri, sepatutnya medium ini diguna sebaik-baiknya untuk berbahas secara matang,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Suee Lim mencabar Umno supaya meletakkan Jamal sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRU14.

Menurut Suee Lim, sokongan pengundi terhadap Jamal hanya dapat dinilai jika Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia itu mampu mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar yang kini disandang, Noriah.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor