Pages

Friday, November 6, 2015

DISERANG RIBUAN LINTAH


Diserang ribuan lintah



Simpang Pulai – Sebuah keluarga yang menjadi mangsa banjir terpaksa mengharungi air yang dipenuhi lintah selepas rumah mereka di Taman Pulai Raya di sini, dilanda banjir kilat kelmarin.

Dalam kejadian itu, kira-kira 20 rumah penduduk dimasuki air dan 73 mangsa termasuk seorang bayi perempuan terpaksa dipindahkan ke Dewan Komuniti Taman Bersatu di sini.

Seorang penduduk, Abdullah Saidi Yahya, 44, berkata, rumahnya paling teruk terjejas kerana terletak di kawasan rendah.

Menurutnya, lintah yang memasuki rumahnya datang dari lombong berhampiran yang melimpah ke jalan utama.

“Dalam keadaan kelam kabut menyelamatkan barang dalam rumah, kami juga terpaksa melawan lintah yang masuk melalui saluran air," katanya.

Abdullah Saidi berkata, kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk sejak tiga tahun dia tinggal di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini, memang kawasan ini sering banjir terutama jika hujan lebat berterusan, namun air hanya naik paras buku lali sahaja.

"Tetapi hari ini (kelmarin) hujan selama empat jam menyebabkan air naik sehingga paras pinggang," katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila pelbagai kelengkapan rumah ditenggelami air.



Tiga lelaki cuba pecah masuk rumah mangsa

Selain rumah dimasuki lintah, mangsa banjir di sini juga berhadapan masalah lain antaranya ada individu cuba memecah masuk rumah ketika mereka berada di pusat pemindahan.

Abdullah Saidi berkata, tiga lelaki cuba masuk ke pekarangan belakang rumah jirannya kira-kira jam 11.45 malam kerana kebanyakan penduduk berada di pusat pemindahan sementara.

“Jiran menceritakan bahawa dia ternampak tiga lelaki berada di belakang rumahnya dalam keadaan mencurigakan. Pada mulanya dia menyangka pasukan unit beruniform menjalankan tugas.

"Namun dia mula berasa tidak sedap hati apabila sekumpulan lelaki yang tidak beruniform mula membuka pagar belakang rumahnya. Tetapi mereka melarikan diri setelah ternampak jiran saya menyuluh lampu ke arah mereka,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk taman terpaksa berjaga-jaga sepanjang malam bagi mengelakkan kejadian pecah masuk.



Penduduk minta segera selesaikan masalah banjir

Seorang lagi mangsa banjir, Norhasimah Taherudin, 30, berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu memandangkan kini sudah tiba musim tengkujuh.

Menurutnya, pihak berkenaan juga perlu melakukan penyelenggaraan berjadual bagi memastikan sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak tersumbat.

"Kami sudah membuat aduan mengenai masalah perparitan di sini dan difahamkan projek berkaitan saliran di kawasan ini yang sedang dilaksanakan.

"Diharap penambahbaikan itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setiap kali hujan,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM3,000.



23 mangsa banjir dibenar pulang

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Rozmi Che Hamat berkata, seramai 23 mangsa banjir sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan 50 penduduk termasuk 21 kanak-kanak masih berada di pusat pemindahan.

Menurutnya, seramai 15 anggota diarah bersiap sedia setiap hari bagi menyalurkan khidmat bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

“Keadaan banjir semakin pulih di kawasan terbabit dan tindakan segera daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dapat mengurangkan jumlah air bertakung ini. Namun, persediaan perlu dilakukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir mengikut keadaan semasa,” katanya.


Selenggara sistem perparitan

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, seramai 500 kakitangan MBI ditugaskan menyelenggarakan sistem perparitan di sebahagian kawasan yang sering mengalami masalah banjir kilat.

Menurutnya, pendekatan itu diambil bagi memastikan masalah banjir kilat di kawasan berkenaan dapat ditangani..

“Kita minta mereka supaya menyelenggarakan dan melakukan pembersihan di kawasan parit serta longkang yang tersumbat agar aliran air dapat bergerak lancar,” katanya.

Katanya, penyelenggaraan berkenaan akan tetap diteruskan meskipun kawasan yang dilanda banjir kilat itu sudah kembali pulih seperti sedia kala.

“Kita akan teruskan tindakan-tindakan ini bagi memastikan banjir kilat tidak berulang dan mencetuskan masalah kepada orang ramai,” katanya.

Zamri berkata, sampah sarap merupakan antara punca menyebabkan sistem perparitan di beberapa kawasan tersumbat.

“Ini kerana ada sebahagian saliran air ini tersumbat disebabkan sikap penduduk yang gemar membuang sampah merata-rata terutamanya ke dalam longkang dan parit,” katanya.

Selain Taman Pulai Jaya, kawasan lain yang dilanda banjir kilat adalah Taman Kinta Permai, dan Kampung Seri Jaya Tambahan, Jalan Kuala Kangsar.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati kawasan rendah membabitkan 15 kediaman masih digenangi air.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor