AKTIVITI mengatur perlawanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata perkara itu juga menyebabkan wujudnya pelbagai masalah berkaitan termasuk judi, peras ugut dan penawaran rasuah kepada pemain.
Katanya mengatur perlawanan telah membelenggui bola sepak negara sejak beberapa tahun lepas tetapi kementerian sentiasa mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memerangi gejala mengatur perlawanan bola sepak.
"Walaupun tidak dapat sifarkan (bilangan kes), kita dapat kurangkan banyak kes daripada laporan berkaitan tawaran kepada pemain ini," katanya semasa
menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat hari ini.
Semasa menjawab soalan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) berhubung isu itu, Khairy berkata gejala mengatur perlawanan berlarutan kerana kebanyakan pemain tidak berani mengemukakan bukti kerana mendakwa diugut 'bookie' termasuk yang mengancam keselamatan diri dan keluarga.
Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata gejala itu juga sukar dikesan kerana aktiviti mengatur perlawanan berlaku tanpa melibatkan banyak
pihak dan dalam keadaan kerahsiaan yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya beberapa suspek dan sindiket telah dikenal pasti dan kini berada di bawah pemantauan SPRM dan PDRM.
Beliau berkata setiap persatuan bola sepak negeri juga diarah menubuhkan jawatankuasa khas integriti melibatkan SPRM dan PDRM.
"Ia (jawatankuasa) akan memberi peluang kepada pemain yang didatangi 'bookie' supaya membuat aduan secara rahsia agar keselamatan mereka terjaga.
"Kita telah mengambil tindakan serius untuk mengatasi gejala mengatur perlawanan walaupun tidak dapat membanteras (pelakunya) 100 peratus...ada perkembangan positif," katanya
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor