Georgetown - Sidang Dun Pulau Pinang petang semalam bertukar panas apabila Adun DAP dari Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu membangkitkan semula cadangannya untuk menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beliau berkata, bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dihadkan kepada tiga penggal dan perkara itu perlu dibuat kajian mendalam
"Cadangan ini perlu disusuli dengan satu jawatankuasa khas bagi mengkajinya secara mendalam.
"Hal ini penting agar proses pendemokrasian berlangsung dengan lebih progresif," katanya ketika membahaskan Bajet 2016.
Cadangannya itu menyebabkan beberapa Adun DAP lain tidak berpuas hati dan bangun untuk mencelah.
Kerana tidak mahu masanya untuk berbahas diganggu Yee Chew tidak mengendahkan permohonan mencelah Adun Jawi, Soon Lip See dan Adun Air Itam, Wong Hong Wai.
Hong Wai yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, masih sempat bersuara dan memujinya kerana berani membangkitkan isu berkenaan namun Yee Chew membalas tidak memerlukan pujian.
Hong Wai juga sempat mengkritik Yee Chew kerana enggan memberinya peluang mencelah atas alasan pendemokrasi namun Adun itu tetap tidak membenarkan kerana mahu meneruskan perbahasannya.
Perang mulut antara Adun DAP itu berakhir apabila Timbalan Speaker, Datuk Makhtar Shafei meminta Hon Wai duduk bagi membolehkan Yee Chew meneruskan perbahasan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor