Pages

Thursday, October 29, 2015

SUSPEK DIPERCAYAI BERANG TIDAK DIPANGGIL `ABAH'


Suspek dipercayai berang tidak dipanggil 'abah'


Kota Bharu - Seorang lelaki berusia 32 tahun hilang kewarasan diri hanya kerana dirinya tidak dipanggil gelaran ‘abah’, malah sanggup mencucuh rokok dan mendera kanak-kanak berusia 2 tahun itu tanpa belas kasihan sejak seminggu lalu.

Kejadian itu diceritakan sendiri ibu mangsa berusia 21 tahun. Menurutnya, suspek yang juga teman lelakinya sebelum ini sering mendekati anak perempuannya itu, namun kanak-kanak itu sering melarikan diri.

“Dia langsung tidak boleh rapat dengan ‘abahnya’ dan apabila anak saya melarikan diri ketika didekati, dia (teman lelaki) akan mula marah tidak tentu fasal dan bersikap baran.

“Malah, sifat manja anak yang memanggil jiran sebelah dengan gelaran ‘abah’ juga menyebabkan dia akan terus marah dan memberontak,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka sikap panas baran lelaki itu menjadi-jadi sejak seminggu lalu sehingga sanggup mencucuh anaknya dengan puntung rokok dan turut memukul serta menggoncang tubuh kanak-kanak itu sehingga cedera.

“Pernah saya cuba halang perbuatannya tetapi dia akan pukul saya dan turut cederakan saya dengan puntung rokok," katanya.

Wanita berasal dari Selatan Thailand dan menetap di Kota Bharu sejak kecil hingga kini berkata, dia mula berkenalan dengan lelaki itu tiga tahun lalu dan menetap di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, setahun lalu.

“Dia tidak bekerja dan saya terpaksa minta wang belanja daripada ibu yang kebetulan tinggal berdekatan rumah kami.

“Dia pernah ditahan polis dalam kejadian samun dan dipenjarakan sebelum ini, jadi saya mula tawar hati dengannya dan berhasrat mahu tinggal bersama ibu untuk memulakan hidup baharu," katanya.

Kelmarin, kisah kanak-kanak terbabit mendapat liputan media selepas ibunya melarikan diri bersama anaknya itu akibat tidak tahan didera dan dicucuh puntung rokok oleh teman lelakinya itu di sebuah rumah di Tanjung Chat, di sini.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memantau perkembangan kanak-kanak terbabit yang kini ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Pengarah JKM, Mohamad Hanafi Maulud berkata, setelah diteliti dan melihat perkembangan kanak-kanak tersebut, pihaknya mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian badan, mata termasuk kepala mangsa namun tidak serius.

“Buat masa ini kita tempatkan kaunselor secara berkala untuk melihat perkembangan kanak-kanak itu dari masa ke semasa.

“Kita adakan lawatan seminggu sekali bagi memastikan dia dalam keadaan baik semasa menjalani rawatan di hospital,” katanya.

Mohamad Hanafi berkata, pihaknya turut mengenal pasti latar belakang keluarga kanak-kanak terbabit untuk tindakan susulan.

“Ini bagi memastikan sama ada ibu mangsa berusia 21 tahun itu layak atau tidak untuk menjaga anaknya.

“Kita ambil kira semua sudut bagi memastikan kanak-kanak tersebut mendapat hak penjagaan sewajarnya selepas didera sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor