Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuhkan anggotanya supaya sentiasa bersedia menghadapi ancaman jenayah siber.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi pegawai dan anggota PDRM menyertai kursus yang berkaitan keselamatan dan jenayah siber di universiti berkenaan.
“Kita akan berkolaborasi dengan universiti itu dalam pengajian bidang siber, kita juga akan berbincang lanjut bagi merangka kursus untuk pegawai terbabit,” katanya.
Beliau berkata, jenayah siber merupakan satu ancaman pada masa kini.
“Saya tidak bermaksud, kita tidak bersedia, namun kita perlu menaiktaraf dan meningkatkan lagi keupayaan kita menangani ancaman tersebut,” katanya.
Khalid berkata, pihaknya mempunyai unit khas di Jabatan Siasatan Siasatan Komersial yang mengendalikan semua kes jenayah siber.
“Kakitangan unit itu mencukupi, kita hanya perlu mempertingkatkan lagi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam bidang jenayah siber,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisian) dan Program Diploma Sains Siasatan sesi 2013/2014 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, semalam.
Khalid berkata, PDRM turut menghantar pegawainya untuk latihan di luar negara antaranya Hong Kong dan China supaya dapat menimba pengalaman.
“Selain itu, Kompleks Global Interpol (IGC) yang diwujudkan di Singapura juga dapat melatih anggota polis di seluruh dunia dalam bidang keselamatan dan jenayah siber, kita juga akan mengambil peluang dan kesempatan bagi menghadiri apa juga kursus yang ditawarkan oleh (IGC)," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor