Pages

Wednesday, October 28, 2015

PIALA MALAYSIA: PAHANG SAHKAN KEMARAAN KE SUKU AKHIR




Kuala Lumpur: Juara bertahan, Pahang muncul pasukan ketiga mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0, malam tadi. 

Tampak bergelut dengan prestasi terumbang ambing sebelum ini, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu mencipta kebangkitan pada aksi kelima Kumpulan D di laman lawan, Stadium Shah Alam. 

Tiga mata yang diperoleh menyaksikan Pahang mengungguli Kumpulan D selepas mengumpul sembilan mata dan tidak mampu dinafikan tiket ke suku akhir sekurang-kurangnya menerusi slot naib juara. 

Ia turut dibantu dengan keputusan satu lagi perlawanan Kumpulan D membabitkan PKNS dan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang berakhir seri 1-1. 

PKNS di kedudukan kedua mengumpul lapan mata diikuti Pulau Pinang dan PDRM yang masing-masing mengumpul lima mata. 

Penyerang import Pahang jelas menjalankan tugas dengan baik dengan gol pelawat dijaringkan Dickson Nwakame pada minit ke-27 diikuti dua gol daripada Matias Conti pada minit ke-29 dan 81. 

Pada aksi di Stadium Selayang pula, Pulau Pinang terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Lee Gil Hoon pada minit ke-16 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Alif Haikal Mohd Sabri pada minit ke-43.

Pada aksi tunggal Kumpulan A malam ini, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mempersia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-1 kepada Terengganu sekali gus menyukarkan peluang skuad itu untuk mara ke suku akhir. 

Kemenangan buat Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu pula menyaksikan peluang buat keempat-empat masih terbuka secara matematik dan terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir, bulan depan. 

Lions XII yang masih mengungguli kumpulan itu dengan 10 mata manakala Kedah dan Terengganu masing-masing mengumpul tujuh mata dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan manakala JDT II mengumpul empat mata. 

Pelawat membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan perlawanan menerusi Issey Nakajima-Farran namun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi kapten, Shahril Ishak yang menanduk bola menewaskan Mohd Sharbinee Allawee pada minit ke-34. 

Ismail Faruqi muncul wira Terengganu apabila menanduk gol kemenangan yang terhasil daripada sepakan percuma Gustavo Lopez pada minit ke-86.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor