Pages

Wednesday, October 7, 2015

PEMBESAR SUARA: POLIS REKOD KETERANGAN GUAN ENG


lim guan eng


Georgetown - Polis hari ini merekodkan keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tweet palsu mengenai larangan penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada pembantu Guan Eng, yang mendakwa ada pihak memalsukan akaun Twitter milik ketua menteri itu.

"Pegawai saya mengambil keterangan daripada ketua menteri di pejabatnya pada 4.45 petang tadi. Siasatan dibuat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini, di sini.

Tweet berhubung perkara itu muncul dalam bentuk paparan bergambar dan menjadi viral dalam Facebook dan Twitter sejak 2 Oktober lepas.

Tweet yang menggunakan nama Guan Eng pada laman Twitter itu mengandungi kenyataan

"Larangan pembesar suara di masjid & surau dlm P. Pinang muktamad. Mereka yang tak setuju tak layak tinggal dalam negeri ini. Sila Keluar!".

Sementara itu, Guan Eng ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Komtar berharap polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang mereka fitnah itu.

"Itu adalah satu fitnah jahat untuk menimbulkan kebencian terhadap saya dan menimbulkan kebencian antara kaum dan agama supaya ada huru-hara di Pulau Pinang.

"Apabila saya telah membuat kenyataan bahawa ini tidak benar, saya rasa rakyat faham dan mereka pun tidak mahu dipermainkan oleh sentimen yang jahat ini. Saya rasa usaha mempolitikkan isu ini tidak berjaya," katanya. 

Larangan penggunaan pembesar suara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai.

Mengikut larangan itu, penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor