Pages

Monday, October 19, 2015

PARLIMEN: DUA MP DIARAH KELUAR DEWAN


Parlimen: Dua MP diarah keluar dewan


Kuala Lumpur - Dua Ahli Parlimen pembangkang di arah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, kedua ahli Parlimen tersebut diarah keluar selepas mempertikai arahan, keputusan dan integriti Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Lim Lip Eng (DAP-Segambut) diarah meninggalkan persidangan berkenaan oleh Speaker kerana mempertikaikan keputusan dan arahan beliau.

"Bukan setiap perbahasan seperti begini kita politikkan. Bagi saya itu adalah agenda peribadi politik. Jika Yang Berhormat terus mempertikaikan keputusan saya, saya tidak akan teragak-agak untuk rehatkan Yang Berhormat dari Dewan ini," katanya kepada Lip Eng.

Speaker kemudiannya meminta Lip Eng untuk duduk sebelum menyambung semula perbahasan usul berkenaan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagaimanapun Lip Eng enggan duduk dan terus mempertikai usulnya berkenaan kenaikan kadar tol yang ditolak speaker sebelum itu.

Tindakan Lip Eng menyebabkan Speaker mengambil keputusan untuk merehatkan beliau dari sidang Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 44.

Tidak berapa lama selepas itu Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) juga turut menerima nasib sama selepas mempertikaikan kejujuran dan integriti Pandikar.

"Setiap (isu) yang dibawa oleh ahli Parlimen pada hari ini di hadapan Tan Sri (Speaker) adlaah bertujuan untuk mendapat pertimbangan daripada Tan Sri. Apakah satu tindakar wajar sekiranya Tan Sri menolak usul yang dibawa?" soal Gobind di hadapan Speaker.

"Dengan mempertikaikan penolakan usul saya, itu bermaksud Yang Berhomat juga mempertikaikan kejujuran saya dan integriti saya," balas Speaker.

Jawab balas oleh Speaker mencetuskan suasana riuh-rendah di seluruh Dewan Rakyat.

Speaker kemudiannya mengarahkan supaya Gobind duduk semula di tempatnya sebelum menyambung kembali sesi perbahasan namun ahli Parlimen itu enggan menurut arahan beliau.

"Kecuali sengaja untuk melengahkan mesyuarat, saya tidak nampak alasan lain. Yang Berhormat bercakap mempersoalkan integriti. Bentara, sila jalankan tugas," kata Pandikar sebelum Gobind diiring keluar oleh bentara Dewan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor