Pages

Thursday, October 1, 2015

OPERASI HAPUS SARANG DADAH


Operasi hapus sarang dadah


Dungun - Masalah penyalahgunaan dadah terus menjadi racun dan punca keruntuhan akhlak dalam kehidupan masyarakat.

Sekiranya tidak dibendung, ia akan terus menular dan kes melibatkan penagihan serta salah guna bahan terlarang itu tidak mengenal jantina, usia atau latar belakang.

Di daerah ini terdapat beberapa kawasan yang mencatat kes penyalahgunaan dadah yang agak serius dan salah satunya ialah di sekitar Ketengah Jaya.


21 termasuk 4 wanita ditahan

Menerusi Ops Tapis yang dijalankan sekitar Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, di sini, Isnin lalu, seramai 21 suspek berjaya ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Semua suspek yang berusia 20 hingga 40 tahun dan empat daripadanya adalah wanita ditahan di sebuah rumah yang sering dijadikan sarang penagihan dadah.

Serbuan yang diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail bersama 10 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik IPD Dungun serta anggota Balai Polis Ketengah Jaya itu bermula sekitar jam 7.30 petang hingga 10 malam.

Ketika serbuan, ada yang bersembunyi di dalam dan luar rumah bagi mengelak dicekup pihak berkuasa, tetapi berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.

Menerusi serbuan itu, polis turut merampas sejumlah pil kuda daripada tiga suspek termasuk dimiliki oleh seorang wanita.

Hasil pemeriksaan air kencing mendapati, 18 daripada 21 suspek yang ditahan positif dadah jenis methampethamine dan morphine.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Difahamkan semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan sudah beberapa kali keluar masuk penjara.


Ketengah Jaya antara lokasi catat kes dadah tertinggi

Dalam pada itu, susulan kes penyalahgunaan yang agak kritikal di Ketengah Jaya, satu program pemutihan dadah atau Whitening Black Spot Initiative diadakan bagi menghapuskan sarang dadah yang sering menjadi tumpuan golongan penagih.

Dianggarkan 10 hingga 12 sarang penagih dikesan dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan yang dikenal pasti turut dijalankan bagi menghapuskan sarang penagihan serta menghalang kegiatan tidak bermoral diteruskan di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, program pemutihan berkenaan dijalankan dengan kerjasama Felda Wilayah Terengganu, AADK Terengganu dan pelbagai lagi pihak.

Menurutnya, sasarannya bukan sekadar untuk memusnahkan dan menghapuskan sarang penagihan dadah, tetapi memberi penerangan mengenai penyalahgunaan dadah kepada pelajar serta masyarakat sekitar.

“Program ini turut dijalankan dengan usaha sama Pejabat Penerangan, Pejabat Agama, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), JKKK, KRT Felda Kerteh 6 serta beberapa lagi pihak.

“Selain forum berkaitan dadah, turut diadakan sesi dialog yang secara tidak langsung memberi lebih penjelasan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan pelajar atau remaja juga dapat memberi kesedaran kepada mereka supaya tidak terjebak atau berjinak dengan aktiviti tidak sihat itu.

“Secara tidak langsung, program pemutihan ini diyakini dapat menyampaikan informasi berguna kepada semua, termasuk ibu bapa dan remaja, sekali gus membendung gejala berkaitan dadah berbahaya.

“Dengan cara melupus dan membersihkan sarang penagihan dadah ia juga menyukarkan golongan penagih untuk meneruskan aktiviti mereka serta diharapkan memberi kesedaran supaya menjauhi najis dadah,” katanya.


Semua perlu berganding bahu

Sementara itu, Pengerusi KRT Semai Bakti Felda Kerteh 6, Anuar Hussin berkata, sebagai masyarakat beliau menyokong sepenuhnya usaha itu dan semua pihak harus berganding bahu bagi menjayakannya.

Menurutnya, membasmi gejala dadah adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya diserahkan kepada polis semata-mata.

“Sebagai masyarakat, jika ada sebarang maklumat mengenai aktiviti tidak sihat di kawasan masing-masing, kita harus segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Ibu bapa harus mengawasi anak-anak supaya tidak terjebak dan program kesedaran seperti pemutihan ini digalakkan diadakan dengan lebih kerap,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor