Pages

Sunday, October 18, 2015

LPT2 RAGUT DUA LAGI NYAWA MALAM TADI


LPT2 ragut dua lagi nyawa malam tadi
Hasan dan anak sulungnya (berdiri, tengah) maut sementara isteri dan anak bongsunya (berdiri, kanan) cedera dalam nahas di LPT2 malam tadi.


Kemaman – Saat kes enam beranak maut yang berlaku empat hari lalu di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) masih jadi bualan dan kesedihan belum pun reda, satu lagi nahas tragis menimpa empat sekeluarga menyebabkan peneroka dan anak sulungnya maut sementara isteri dan anak bongsunya cedera.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.40 malam tadi di Kilometer 273.9 LPT2 dekat susur keluar ke Plaza Tol Cheneh, iaitu hanya lebih kurang 15 kilometer dari lokasi tragedi meragut nyawa Azaman Ramli, 49, sekeluarga pada Rabu lalu.

Bapa tiga anak itu, Hasan Abd Wahab, 53, dan anak sulungnya, Hanis Shazuani, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan di bahagian penumpang belakang pemandu.

Isterinya, Salimah Ghalam, 51, yang turut parah dan anak bongsu mereka, Hanis Shazizatul, 14, yang mengalami kecederaan ringan pula segera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan segera.

Lebih pilu, tragedi itu berlaku semasa Hasan sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Kampung Ibok di Kijal ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru kerana menziarah adik iparnya, Mohd Amin Ghalam, 37, yang melecur teruk akibat insiden belon gas meletup.

Turut menyentuh hati, hari kejadian juga merupakan hari lahir anak kedua mangsa yang ketika insiden berlaku tidak bersama empat ahli keluarganya itu kerana belajar di Pekan, Pahang.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira yang dinaiki mangsa sekeluarga terbabas melanggar pembahagi jalan susur keluar Plaza Tol Cheneh mengakibatkan bahagian kanan kenderaan itu remuk.

Mohd Amin yang melecur teruk di lengan kiri berkata, kakak dan abang iparnya itu sekeluarga pulang dari rumahnya kira-kira jam 11.15 malam iaitu selepas tamat perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung di televisyen (TV).

Namun pemandu Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu sekeluarga kemudian dikejutkan dengan panggilan tidak diduga dan di hujung talian terdengar sayup-sayup suara anak bongsu mangsa meminta tolong.

“Mok Dah…Mok Dah…Tolong, aboh kepit,” itu ayat didengar isteri Mohd Amin sebelum suara itu senyap dan beberapa saat kemudian terdengar suara orang awam di hujung talian yang memberitahu keluarga itu kemalangan di susur keluar Plaza Tol Cheneh.

Mohd Amin berkata, ketika menonton TV bersama-sama, arwah abang iparnya tidak banyak cakap seperti biasa dan cuma diam seakan mulut terkunci.

“Waktu mahu balik dan undurkan kereta saya sempat jerit padanya ‘Abang Awang tepi sikit’ sebab jalan di depan rumah saya sempit, takut keretanya kena pokok.

“Saya juga sempat tanya dia nak balik ikut jalan mana dan dia bagitahu ikut LPT2,” katanya sambil memberitahu Awang adalah nama panggilan abang iparnya yang juga ketua blok di Peringkat 3, Felda Neram 2.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor