Kuala Lumpur - Empat ahli Parlimen BN dan seorang daripada Pas dilantik menganggotai keahlian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu bagi menggantikan ahli Parlimen yang dilantik ke Kabinet Julai lalu.
Nama mereka tersenarai dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang ditandatangani Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Memetik senarai yang dipilih, mereka yang dilantik adalah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh menggantikan Datuk Madius Tangau yang dilantik sebagai Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong telah dilantik menggantikan wakil MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan pada Jun tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah telah dilantik bagi menggantikan Datuk Mas Emieyati Shamsudin, manakala Ahli Parlimen Langkawi dari BN Datuk Nawawi Ahmad menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sebelum ini, Mas Ermieyati telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Reezal Merican pula telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai dalam rombakan kabinetnya.
Sementara daripada Pas pula, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik menggantikan Datuk Kamarudin Jaafar yang menyertai PKR bulan lalu.
PAC kini mempunyai 14 ahli termasuk pengerusi baharunya, Datuk Hasan Arifin yang merupakan Ahli Parlimen Rompin dari BN.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor