Berikutan beberapa kes dan aduan membabitkan syarikat gores dan menang, kira-kira 20 ahli Pertubuhan Kebajikan Insan Islamiah Bersatu Pahang (Perkesib) mengambil inisiatif bersemuka dengan pihak sebuah syarikat berkaitan, di sebuah pasar raya, di sini, semalam.
Presidennya, Musyiadi Bidin berkata, orang ramai berasa terpedaya dengan cara pihak syarikat berkenaan menawarkan hadiah atau pembelian barangan tidak setimpal dengan kos pembayaran.
“Kami dapat banyak aduan berkaitan aktiviti gores dan menang ini yang memujuk orang ramai dalam pelbagai cara hingga ada yang terpedaya mengeluarkan jumlah wang yang banyak sedangkan barang diberikan tidak setimpal, jauh lebih murah dan boleh didapati di kedai biasa.
“Kami hadir ke premis syarikat gores dan menang untuk bersemuka dengan pemilik syarikat bagi pihak mangsa. Tapi kami sedikit hampa kerana hanya dibenarkan berjumpa wakil mereka sahaja.
“Kepada pihak pengurusan kami telah nyatakan ketidakpuasan hati mangsa terlibat kerana pada awalnya syarikat bersetuju dan berjanji akan pulangkan duit jika barangan tidak dapat. Tapi sehingga kini ia tidak berlaku," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau membuat laporan polis berhubung pertemuan yang akhirnya mengundang kekecohan di pasar raya berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan membantu mana-mana individu atau mangsa yang mahu menuntut hak sebagai pengguna.
“Sebelum ini kami cuba selesaikan masalah ahli tapi selepas ini kami ingin tawarkan kepada orang ramai yang berdepan dengan masalah gores dan menang ini.
“Kami akan kumpul mangsa yang terlibat dan akan membawanya ke tribunal untuk mendapatkan hak mereka kembali.
“Kami harap masyarakat tidak terpedaya lagi dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan wang beribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor