Pages

Monday, October 12, 2015

HIDUP MATI RAKYAT PALESTIN JADI PERMAINAN ZIONIS


Elya Lim Adnan


Kuala Lumpur - Apa yang berlaku di Palestin menggambarkan bagaimana kehidupan manusia di bumi itu menjadi permainan zionis Israel yang malangnya hanya dipandang sepi oleh pemimpin-pemimpin dunia terutama yang berkuasa.

Akui kecewa, Elya Lim Adnan antara ahli yang mengasaskan NGO, Viva Palestina Malaysia (VPM) berkata, suasana itu memalukan apatah lagi kezaliman yang berlaku jelas di depan mata dunia.

“Ketidakadilan terus berlaku. Kuasa seorang manusia kejam itu (zionis) menentukan kehidupan kita (rakyat Palestin). Secara peribadi, saya sangat kecewa dengan dunia kerana sehingga hari ini, sekumpulan masyarakat yang kecil itu tidak dapat ditolong oleh kuasa-kuasa besar. Ini memalukan.

“Nyawa kita ketentuan ALLAH tapi hari ini, manusia yang tentukan hidup mati kita. Ketidakadilan ini di tahap maksimum. Tidak boleh dibandingkan tahapnya,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, kehidupan sekarang menunjukkan betapa dunia yang kita tinggal pada hari ini dihuni manusia yang terlampau zalim.

“Apa yang berlaku menunjukkan bahawa politik dunia tidak membantu langsung. Jika anda di bawah, anda akan dipijak sampai mati tapi jika anda di atas, anda akan disanjung. Inilah kehidupan kita sekarang.

“Saya rasa ini berlaku kerana agama tidak diutamakan dalam kehidupan sebab itu dunia kita sangat zalim sampai tak tahu nak cakap,” katanya.

Mengulas tentang filem The Wanted 18 yang ditontonnya pada Festival Filem Palestin-Kuala Lumpur (KLPFF 2015) semalam, Elya akui tersentuh dengan cerita yang dipaparkan hingga menitiskan air mata.

“Penulis cerita ini sangat bijak. Sebab dia menginterpretasikan tentang kehidupan rakyat Palestin dengan kehidupan seekor lembu. Nak bela lembu pun susah di Palestin. Mereka kena sembunyikan lembu itu.

“Saya jadi emosional pada babak di mana lembu itu beranak dan lembu itu mati tetapi anaknya selamat. Ia seolah-olah melambangkan kehidupan rakyat Palestin di mana seorang mati, seorang hidup. Babak itu menyentuh hati saya walaupun saya sudah lama dalam perjuangan ini. Ia mengingatkan saya betapa susahnya rakyat di sana,” katanya.

Menurutnya lagi, jika ada yang mempertikaikan usaha mereka memperjuangkan Palestin bukannya rakyat negara sendiri yang juga susah, Elya berkata, kesusahan itu tidak sama.

“Kesusahan rakyat Malaysia masih boleh ditolong malah mereka tidak dipukul, dihina, ditangkap atau dibunuh seperti rakyat Palestin. Walaupun rakyat kita miskin, kehidupan mereka bebas, tidak diperangkap dalam satu-satu kawasan seperti haiwan. Ini sangat menyedihkan kerana kesusahan mereka tidak sama dengan kesusahan kita.

“Saya faham, rakyat kita ada yang miskin, susah hingga tidak tahu bila dapat makan, tapi di sana, anda hidup namun anda akan ditekan hingga mati. Saya bersedih kerana rasa kasihan dengan penderitaan mereka yang tiada kebebasan, disekat dari segi apa pun serta terperangkap di bumi sendiri,” katanya.

The Wanted 18 adalah salah satu filem yang ditayangkan di KLPFF 2015 anjuran VPM.

Tiga filem lain adalah Flying Paper, Where Should the Birds Fly dan The Stones Cry Out.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor