Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera kini giat melakukan persiapan awal sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh tahun ini.
Ketua polisnya, Deputi Superintenden Mohd Rosdi Daud berkata, persiapan awal tersebut melibatkan latihan pengendalian bot enjin sangkut dalam kalangan anggota polis sebagai usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ketika banjir berlaku.
Beliau berkata, Sungai Bera dipilih sebagai lokasi latihan adalah tepat dan bersesuaian memandangkan keadaan sungainya lebih dalam berbanding Sungai Pahang yang cetek selain benteng pasir yang sukar dilihat.
“Latihan ini membolehkan setiap anggota terlibat mengingati kembali kaedah mengendalikan bot enjin sangkut dengan cara betul.
“Selalunya, jika jarang melakukan sesuatu latihan, kita akan lupa. Jadi, kita adakan latihan ini sebagai pendedahan awal sebelum berlakunya bencana banjir,” katanya.
Menurutnya, latihan melibatkan 18 anggota polis dan empat anggota Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) ini selari dengan hasrat Ketua Polis Pahang yang mahukan pihak PDRM bersiap sedia lebih awal dalam menghadapi situasi banjir.
“Walaupun, situasi latihan tidak sama dengan situasi sebenar, namun melalui latihan ini boleh meningkatkan keyakinan diri peserta yang bakal ditugaskan semasa operasi menyelamat kelak.
“Saya percaya, latihan sebegini perlu dijalankan secara berkala untuk menambah baik kecekapan anggota dalam operasi menyelamat dan memindah mangsa banjir,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mahu semua penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan sungai supaya peka dengan perubahan Air sungai, selain patuh pada arahan pihak berkaitan sekiranya diminta meninggalkan kediaman masing-masing.
Menurut Mohd Rosdi, sikap penduduk yang ingkar dengan arahan mungkin akan menimbulkan konflik kemudian hari sekali gus menjejaskan masa dan tenaga dalam operasi menyelamat di kawasan yang berlainan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor