Marang: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian kira-kira jam 2 petang itu.
Bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad, berkata beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.
Beliau berkata, Allahyarham yang baru pulang daripada solat Jumaat dipercayai ditembak selepas membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali.
"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah kemudian membuka pintu sebelum ditembak.
"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah.
Arwah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.
Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat dari 2004 hingga 2008.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Alor Limbat, pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang dari 2004 hingga 2013 dan Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dari 2011 hingga 2013.
Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Pendakwaan Negeri (Timbalan Pendakwaraya/Peguam Kanan Persekutuan) meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor