SEREMBAN – “Adik ada bagitahu, dia tidak berniat bunuh abangnya. Dia menyesal dan banyak kali mohon maaf kepada kami sekeluarga,” kata abang sulung kepada mangsa kejadian tikam di Kampung Chuah, Port Dickson petang kelmarin.
Abang sulung yang enggan dikenali itu berkata, dia dan ahli keluarga yang lain ada menghubungi adiknya untuk memintanya pulang ke rumah.
“Saya hubungi dia dan tanya kenapa dia buat begitu. Dia menangis dan minta maaf kepada kami kerana tidak sangka jadi begitu.
“Dia sedia beri kerjasama dengan polis dan mahu pulang ke rumah untuk memohon maaf kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia akibat terkena tikaman di dada ketika bergelut dengan adik lelakinya.
Mangsa yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan di sebuah syarikat di Sepang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menegur perbuatan adiknya yang berebut alat kawalan jauh televisyen dengan anaknya berusia lima tahun.
Sementara itu, abang sulung berusia 40-an itu berkata, adiknya itu bukan melarikan diri disebabkan tindakannya itu, malah tidak tahu abangnya meninggal dunia.
“Pada awalnya, dia tidak tahu abangnya sudah meninggal dunia, kami minta dia datang ke hospital untuk melawat abang.
“Polis hubungi adik, dia masih boleh menjawab panggilan dan sedia beri kerjasama dan akan pulang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah ialah pagi Isnin lalu ketika mahu pulang semula ke Johor untuk urusan kerja.
“Arwah ada tegur saya kenapa pulang awal kerana biasanya saya pulang ke Johor pada waktu petang. Saya bagitahu dia terpaksa pulang pagi kerana ada urusan kerja.
“Kami berbual sekejap dan bersalaman sebelum pulang. Saya melihat arwah banyak diam dan tak sangka itu tanda dia mahu pergi,” katanya.
Menurut abang sulung kepada enam adik-beradik itu, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia lima dan 11 tahun.
Jenazah dikebumikan di Sepang selepas solat Zuhur, semalam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor