Pages

Sunday, September 27, 2015

[TIOMAN] ‘LEMBU KORBAN NAIK TONGKANG'


‘Lembu korban naik tongkang’


Walaupun berada jauh di tengah lautan, penduduk Pulau Tioman juga tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini yang disertai kira-kira 100 penduduknya.

Urusetia program, Muhd Zulhilmi Ismail Jaffar, 35, berkata, telah lama suasana majlis korban sedemikian tidak dirasai penduduk kerana kali terakhir majlis korban diadakan di pulau peranginan terkenal itu ialah kira-kira 10 tahun lalu.

“Sudah lama tidak diadakan majlis korban sebegini yang disertai hampir 100 penduduk yang turun bergotong-royong. Tidak silap saya kali terakhir diadakan kira-kira 10 tahun lalu itu pun hanya seekor lembu dikorbankan.

“Kali ini seramai 29 orang mengambil bahagian untuk melaksanakan ibadah korban melibatkan penduduk dari Kampung Tekek, Air Batang dan Salang yang akhirnya berjaya menghidupkan kembali suasana majlis korban di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kedudukan pulau yang agak jauh dari daratan menyukarkan proses membawa lembu korban ke pulau berkenaan, namun inisiatif penduduk yang begitu bersemangat untuk melaksanakan ibadah tersebut akhirnya berjaya membawa lima ekor lembu dengan menaiki tongkang.

“Kami beli lembu dari Tanjung Gemok dan bawa kesemua lembu menaiki tongkang ke pulau ini dari Endau. Bagi mengelakkan lembu itu berkeliaran bergerak di atas tongkang, ia dibawa belayar dengan lori yang membawa lembu itu sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Urusetia, Mohd Akhir Abd Ghani, 54, berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana majlis korban yang dirancang berjaya dianjurkan dan gembira kerana ramai penduduk mengambil bahagian serta bergotong-royong dari menyembelih hingga ke proses pembahagian.

“Kita berharap suasana majlis korban seperti ini dapat dikekalkan pada tahun-tahun yang mendatang kerana selain melaksanakan ibadah sunat, ia merapatkan hubungan penduduk di pulau ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor