Kuala Lumpur - Seorang wanita berusia 44 tahun merupakan antara 19 suspek yang diburu polis kerana disyaki menjadi dalang kes samun seorang lelaki di Taman Rekreasi Datuk Keramat di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa dilaporkan telah pergi ke taman rekreasi berkenaan untuk membeli topi keledar daripada seorang wanita.
"Wanita ini dikenali mangsa menerusi Facebook. (Di taman rekreasi) mangsa dipukul oleh kira-kira 20 lagi individu lain yang bertindak merampas motosikal mangsa jenis Kawasaki RR150, wang tunai RM800 dan rantai emas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini semalam.
Mohamad Roy berkata, setakat ini pihaknya berjaya memberkas dua suspek lelaki berusia 34 dan 17 tahun di Taman Keramat sehari selepas mangsa membuat laporan polis.
"Saya percaya kesemua 19 suspek yang diburu polis masih berada di sekitar ibu kota dan Negeri Sembilan," katanya.
Roy berkata, kedua-dua suspek ditahan direman bermula Ahad lepas sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa menyamun.
Dalam kes berasingan, tiga wanita disamun dua lelaki tempatan di kondominium mereka di Taman Melati, Setapak, pada Jumaat lepas.
"Kedua-dua suspek mengekori mangsa sehingga ke kediaman mangsa serta mengacukan pistol palsu dan sebilah pisau yang digunakan untuk mengugut mangsa.
"Suspek mengarahkan ketiga-tiga mangsa berkumpul di ruang tamu dan mengambil barangan kemas, jam tangan dan wang tunai RM6,500 milik mangsa sebelum melarikan diri," katanya.
Mohamad Roy berkata hasil maklumat orang ramai dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan dua lelaki berusia 24 dan 29 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu dan menahan mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas sehari selepas kejadian.
Katanya kedua-dua suspek direman bermula Ahad lepas sehingga Khamis ini.
"Nilai kerugian yang ditanggung oleh mangsa dianggarkan RM36,000," kata Mohamad Roy.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor