Pages

Monday, September 21, 2015

POLIS: KHAIRUDDIN MENSABOTAJ NEGARA


Khairuddin Abu Hassan


Kuala Lumpur – ‎Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menganggap tindakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggunakan saluran perundangan asing untuk mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai mensabotaj negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu jelas merupakan langkah yang bertujuan‎ mencabar sistem perundangan Malaysia.

"(Ia turut) mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini.

"Tindakan beliau ini merupakan satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini.

"Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan maklumat yang disalurkan oleh Khairuddin kepada agensi-agensi asing berkenaan, adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan.

Khalid membuat kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kononnya PDRM dipergunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengelak pembongkaran kes 1MDB.

Semalam, Mahfuz mendakwa penangkapan Khairuddin di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan adalah cubaan untuk menutup mulut dan menggesa polis menjelaskan situasi penangkapan Khairuddin kepada rakyat Malaysia.

Ujar Khalid, Khairuddin telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Khairuddin seharusnya diberikan ruang dan peluang kepada agensi penguatkuasa untuk menjalankan siasatan, namun beliau tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata, Mahfuz sepatutnya sedia maklum bahawa siasatan 1MDB itu turut dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara.

"Beliau (Mahfuz) juga maklum bahawa proses siasatan belum selesai dan semua agensi yang terlibat masih memikul amanah dan tanggungjawab,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor