
Kuala Terengganu - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan susulan terhadap individu yang memijak gambarnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan itu merupakan satu perbuatan tidak matang.
"Ini perbuatan kebudak-budakan, tidak matang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Perhimpunan Bersih 4.0 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos di ibu negara tercemar berikutan terdapat beberapa individu memijak gambar kedua-dua pemimpin berkenaan.
Sehubungan itu, polis pada minggu lalu menawarkan ganjaran kewangan kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya individu yang terlibat dalam insiden itu.
Sementara itu di Besut, Pengarah Bahagian Modal Insan Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri Dr Roslan Husain berkata, perbuatan biadab itu bukan merupakan budaya Malaysia malah hanya didorong oleh emosi untuk meniru budaya luar semata-mata.
Katanya, sesiapa sahaja kalau bertindak mengikut emosi akan lebih terdorong melakukan sesuatu perkara bercanggah dengan keperluan masyarakat yang tidak akan memberi sebarang faedah kepada semua.
"Inilah dikatakan perundangan tidak digunakan sebagai satu alat keharmonian bagi memastikan negara berada dalam landasan yang sebenar oleh sesetengah rakyat.
"Kalau kita berasa tidak senang dengan seseorang tokoh maka kita perlu mengawal emosi kerana ia boleh dilakukan secara berhemah berlandaskan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Program Patriotik Malaysia Sehati-Sejiwa anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) dan Biro Tatanegara di IPGKSM.
Roslan bagaimanapun tidak menganggap perbuatan itu membuktikan jati diri rakyat terutamanya kalangan remaja semakin luntur kerana mengikut ukuran pihak BTN jati diri majoriti remaja terhadap negara masih lagi menebal dan tidak boleh dipertikaikan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor