Isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu didakwa sengaja ditimbulkan semula untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Najib, terdapat pihak tertentu berusaha mengaibkan beliau dan menjatuhkan pemimpin.
"Saya tidak pernah jumpa seumur hidup saya dengan wanita ini dan walaupun telah tiga kali bersumpah di masjid, (ada yang) masih tidak percaya dan perkara ini dibangkitkan lagi.
"...seolah-olah ada konspirasi menjatuhkan Umno sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara," demikian tegas Najib.
Justeru, Najib berkata, ahli Umno perlu bijak dan mempunyai kebolehan untuk menyaring maklumat dan mengenal pasti senario politik baharu itu supaya tidak mudah dipesongkan oleh maklumat tidak sahih yang boleh merosakkan kejayaan negara.
Dalam pada itu, Najib turut mengulangi pendirian untuk terus menerajui kerajaan dan parti selagi mendapat sokongan, dan yakin mampu mendepani segala masalah dan kemelut politik yang dihadapi kini dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan anggota parti.
Dalam ucapannya, Najib turut mengingatkan anggota perwakilan mengenai cabaran politik baharu yang dipengaruhi perkembangan media sosial.
Katanya, jika sebelum ini senjata yang diguna untuk merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin adalah terbatas, namun dengan perkembangan media sosial kini semuanya di hujung jari.
"Melalui media sosial, kini mudah untuk racun fikiran rakyat supaya bencikan pemimpin, kebaikan yang dibuat sekian lama tidak dipandang, tapi satu dua kesalahan yang dibuat itu akan diperbesar-besarkan seolah-olah langit nak jatuh.
"Kini perkara itu berlaku pada saya sebab saya presiden parti. Biasanya mereka akan serang kepala parti, kalau kepala parti hilang kepercayaan, maka mudahlah parti itu tumbang bila-bila masa, itu formulanya," kata Najib.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor