Gugusan penempatan Sungai Isap di sini dikenal pasti sebagai kawasan paling kerap menghadapi ancaman wabak denggi di daerah Kuantan dalam tempoh Januari hingga 19 September lalu.
Sepanjang tempoh itu, kes demam denggi yang dicatatkan di kawasan Sungai Isap sebanyak 41 kes atau 3.7 peratus dari jumlah Keseluruhan kes yang dilaporkan di daerah ini iaitu 1,103 kes.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, setakat ini terdapat lima kejadian wabak yang berlaku di gugusan penempatan itu melibatkan lokaliti Taman Sungai Isap 2, Taman Sungai Isap Perdana dan Taman Sungai Isap Jaya.
Dr Zainal Ariffin berkata, bagi aktiviti pemeriksaan pembiakan aedes, sebanyak 2,317 premis di kawasan tersebut diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 62 tempat pembiakan aedes di luar rumah ditemui.
”Susulan pemeriksaan itu juga, kita telah mengeluarkan tiga kompaun dan enam notis pembersihan kepada pemilik premis.
”Jabatan Kesihatan Negeri Pahang juga telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi di Gugusan Sungai Isap dengan melakukan semburan kabus ke atas 4,270 premis” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya terdapat 1,909 kes denggi dengan enam kematian dilaporkan seluruh negeri dalam tempoh Januari hingga 19 September lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 810 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2014 yang mencatatkan 1099 kes dengan empat kematian.
“Taburan kes denggi tertinggi mengikut daerah adalah Kuantan 1,103 kes dengan satu kematian, Temerloh (293) dengan satu kematian, Jerantut (130), Raub (118), Maran (85), Bera (69) dengan satu kematian, Rompin (53) dengan satu kematian, Bentong (20) dengan dua kematian, Lipis (20), Pekan (17) dan satu kes di Cameron Highlands.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor