Pages

Wednesday, September 16, 2015

[KUANTAN] PERTIMBANG BUKA PUSAT KESIHATAN LEBIH MASA


Jerebu


Kerajaan Pahang sedia mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi pusat kesihatan di negeri ini, jika masalah jerebu semakin buruk. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas–Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dalam masa terdekat. 

"Jika bersesuaian, kita akan lebih fleksibel dalam membuka pusat kesihatan, pada masa ini, kita melakukan pemantauan secara berterusan selain membekalkan topeng muka. 

"Kita juga akan memastikan ubat bagi penyakit yang berkaitan dengan jerebu seperti batuk mempunyai simpanan secukupnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja berikutan jerebu di Sekolah Kebangsaan Tanjung Lumpur di sini, semalam. 

Norol Azali berkata pemantauan juga mendapati sehingga kini, tiga penyakit berkaitan jerebu seperti lelah, konjungtivitis (penyakit radang selaput mata) dan jangkitan saluran pernafasan, tidak menunjukkan peningkatan ketara. 

Beliau, bagaimanapun berharap orang ramai tidak mengambil mudah dan mempunyai kesedaran memakai topeng muka, meminum air lebih banyak, membasuh muka dan tangan dengan lebih kerap selain mengurangkan aktiviti luar rumah. 

Beliau berkata pemantauan sentinel juga dijalankan di tiga klinik kesihatan iaitu di Balok, bandar Kuantan dan Kuala Tembeling. 

Norol Azali berkata pihaknya menyasarkan pemberian 100,000 topeng muka ke seluruh sekolah di Pahang dan menggalakkan sumbangan daripada syarikat swasta seperti Hospital Pakar Kuantan yang menyumbangkan 25,000 topeng muka dan Persatuan Farmasi Pahang yang menyerahkan 5,000 topeng muka untuk diagihkan.

"Kita harap orang ramai tidak hanya menunggu topeng muka percuma...harganya tidak terlalu mahal manakala penjual pula jangan menaikkan harga kerana ini bukan soal keuntungan semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor