Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman mengingatkan umat Islam, khususnya di negeri ini agar menghayati konteks ibadah sunat korban yang lazimnya dijalankan sejurus selepas solat Aidiladha pada Khamis ini.
Beliau berkata, pengorbanan tersebut begitu digalakkan di dalam agama yang dapat melahirkan perpaduan dalam masyarakat hari ini yang jelas telah menampakkan sedikit perpecahan.
Abdul Rahman berkata, menerusi ibadah korban ini, ia mampu melahirkan perasaan untuk bersatu-padu dan bekerjasama bukan sahaja dalam hal ibadah agama Islam lebih-lebih lagi ke jalan diredai Allah SWT tetapi dalam konteks kemasyarakatan.
“Segelintir masyarakat hari ini sudah menampakkan tanda-tanda perpecahan di kalangan mereka, jadi dengan melakukan ibadah korban pada Aidiladha ini, ia mampu mengajar kita bersatu padu ketika menyelesaikannya sekali gus dapat melupakan fahaman politik serta boleh mengutamakan agama daripada hidup berpuak-puak.
“Hasil daripada ibadah korban ini secara tidak langsung kita akan nampak penyatuan dalam agama Islam di kalangan orang Islam itu sendiri, untuk melahirkan semangat perpaduan antara umat Islam yang sering dikaitkan, dalam masa yang sama kita seharusnya tidak boleh berdiam diri dan harus mencari jalan penyatuan antara umat itu sendiri.
“Justeru, kita perlu bersatu-padu dalam menegakkan agama Islam bukan cari orang lain untuk sama-sama menegakkan perpaduan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau turut menggalakkan umat Islam yang mampu melakukan ibadat korban untuk terus mengambil peluang ini.
“Mereka yang berkesempatan berkorban perlu ikhlas dan tidak menunjuk-nunjuk. Ibadah ini hanyalah dilakukan ke atas individu sahaja dan bukanlah atas perkongsian syarikat atau sebagainya.
“Sekiranya dalam satu kampung atau dalam sebuah rumah ada yang terpilih menjalankan ibadah ini maka mereka telah melepaskan satu amalan walaupun ia hanya merupakan satu perkara sunat sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor