Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak berkompromi dan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis berhubung isu parkir yang menjadi viral menerusi satu poster ‘Protes Rakyat’ di laman sosial dalam tempoh terdekat ini.
Yang Di Pertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, MPK memandang serius perkara tersebut kerana poster itu dianggap keterlaluan hingga boleh mencetuskan fitnah.
“Viral isu parkir ini mempunyai unsur hasutan yang dipamerkan melalui satu poster berjudul ‘protes rakyat’ yang menuduh MPK umpama Zionis atau Yahudi kerana bertindak mengunci sebuah kenderaan kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan.
“Orang yang terbabit juga menggunakan nama YDP di dalam poster tersebut bagi menghentam tindakan majlis yang mengunci kenderaan sewenangnya, ia boleh memberikan gambaran tidak baik oleh orang ramai terhadap MPK sekali gus hentaman demikian tidak wajar dilakukan.
“Justeru, dengan tindakan susulan itu, pihak majlis akan meminta kerjasama pihak berkuasa untuk memberi amaran terhadap individu berkenaan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPK, Kuantan, di sini, semalam.
Menurutnya, sebahagian besar pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai undang-undang kecil dalam meletakkan kenderaan di dalam kawasan bandar dan semua tindakan penguatkuasaan telah dijalankan dengan penuh berhemah.
“Sebagai contoh, penguat kuasa kita pun tidak akan menyaman sekiranya memakir kenderaan di hadapan masjid ketika Solat Jumaat atau pada waktu puncak pasar tani berhadapan UTC pada hari Ahad kerana kita faham kekurangan tempat letak kenderaan dan sekiranya dilakukan maka ini bermakna penguat kuasa tidak berhemah menjalankan tugasan mereka.
“Tindakan yang diambil MPK adalah yang paling ringan berbanding PBT lain sama ada di Georgetown, Johor Baru, Kelantan, Melaka dan sebagainya di mana sekiranya meletakkan kereta di luar petak atau tanpa membayar dalam tempoh lima minit, kenderaan anda mungkin sudah ditunda ke lokasi lain.
“Kita pun sudah pun mengenal pasti individu tersebut, dia turut mempunyai nilai kompaun yang tinggi, dia mungkin tidak sebut dan hanya menyalahkan kita namun dia mempunyai kira-kira 90 kompaun yang belum dijelaskan,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, sekiranya orang ramai tidak mahu mengikut undang-undang maka tidak bermakna kewujudan pihak berkuasa.
“Dengan adanya undang-undang tidak kira sama ada melibatkan parkir kereta, pembukaan premis atau sebaliknya haruslah kita patuhi.
“Pihak majlis tidak seharusnya tunduk kepada orang yang viralkan hal demikian kerana ia menjadi tidak adil kepada mereka yang membayar saman, kompaun atau sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor