Pages

Thursday, September 10, 2015

[KUANTAN] CEDERA KETIKA KEJAR PEROMPAK


Cedera ketika kejar perompak


Seorang pekerja wanita sebuah kedai telefon bimbit terpaksa menerima beberapa jahitan selepas cedera di bahagian kaki akibat terkena pintu kaca yang pecah ketika cuba mengejar perompak yang bertindak menyamun kedai tempatnya bekerja di Jalan Haji Ahmad di sini, tengahari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, perompak yang dipercayai warga asing berusia dalam lingkungan 20-an bagaimanapun sempat melarikan diri bersama dompet milik mangsa yang sempat disamun.

Pemilik kedai berusia 26 tahun berkata, selain mengalami kecederaan, pekerjanya yang dikenali sebagai Foo, 19 turut kehilangan sebuah dompet yang mengandungi lesen, kad pengenalan dan wang tunai RM30 setelah dikebas perompak.

Menurutnya, dia pula terpaksa mengeluarkan belanja untuk menggantikan pintu kaca kedai yang pecah dalam kejadian itu.

“Saya bagaimanapun lega kerana tidak dicederakan perompak itu walaupun dia sempat mengugut kami menggunakan sebilah pisau,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, kelmarin.

Dia berkata, ketika kejadian dia hanya bersama pekerjanya berada dalam kedai kerana tiada pelanggan berurusan.

“Ketika itu saya sedang sibuk membaiki telefon bimbit milik pelanggan manakala Foo sedang menjaga kaunter sebelum didatangi seorang lelaki bertopi keledar yang berlagak sebagai pelanggan.

“Pekerja saya melayannya seperti biasa tanpa sedikit pun rasa curiga setelah lelaki itu memberitahu dia ingin membeli kad tambah nilai telefon,” katanya.

Menurutnya, ketika pekerjanya hendak mengambil kad tambah nilai yang dikehendaki lelaki itu, suspek tiba-tiba bertindak ganas menolak rak dan meluru ke arah mereka sambil mengacukan sebilah pisau.

“Perompak tersebut kemudiannya menuju ke arah sebuah meja selepas dia ternampak dompet milik Foo yang diletakkan di situ sebelum merampasnya dan terus melarikan diri.

“Suspek yang keluar secara tergesa-gesa terlanggar pintu kaca hingga pecah bagaimanapun dia sempat keluar dan melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, pekerjanya cuba mengejar bagaimanapun terpaksa membatalkan hasrat itu selepas kakinya tercedera terkena pintu.

“Akibat kecederaan itu dia dihantar ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan dan terpaksa dikenakan beberapa jahitan.

“Sebelum itu, saya menemui sebilah pisau yang dipercayai senjata digunakan perompak yang dicampakkan dalam longkang di kawasan berhampiran,” katanya.

Dia berkata, kejadian seumpama itu kali pertama dialaminya namun lega kerana pekerjanya hanya mengalami kecederaan dan kerugian kecil.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor