
Petaling Jaya - Polis mengenal pasti ketua kumpulan yang dipercayai terbabit dalam insiden membakar suar, mercun dan bom asap ketika perlawanan bola sepak antara skuad Harimau Malaya dan Arab Saudi pada Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat insiden tersebut dari segenap aspek.
“Kita sudah mengenal pasti ketua kumpulan itu, kita juga sedang meneliti rakaman bagi mengesan individu yang dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, 11 individu yang ditahan reman dapat membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di stadium tersebut.
“Kita mahu menyiasat punca individu tersebut peroleh bekalan suar itu yang begitu banyak, siapa yang membawa masuk ke dalam stadium.
“Penjual makanan dan minuman di stadium berkenaan juga akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.
Perlawanan itu terpaksa dihentikan pada minit ke-88 selepas berlakunya kekecohan termasuk kejadian membakar suar dan mercun di padang. Ketika itu, Arab Saudi mendahului 2-1.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor