Pages

Tuesday, September 22, 2015

JIKA AKHIRNYA DAP MINTA MAAF...


Nik Zawawi Nik Salleh


Shah Alam - Pas bersedia menerima DAP jika parti itu meminta maaf dan menerima dasar-dasar Islam yang diperjuangkan selama ini setelah ikatan tahaluf siyasi antara mereka terbatal, sebelum ini gara-gara DAP didakwa melanggar syarat kerjasama tersebut.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, meskipun ikatan itu pernah putus, namun Pas akan mengikut lunas-lunas yang telah digariskan dalam agama.

"Jika dia (DAP) minta maaf dan terima dasar kita, hukum dah jadi wajib dah...kita akan terima (maaf). Tiada masalah.

"Apabila dia (DAP) minta maaf nak rujuk balik...nikah kahwin pun boleh rujuk balik. Insya-ALLAH tahaluf siyasi tiada masalah," katanya pada forum Diskusi 3.0: Integriti dan Kenegaraan, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika dikemukakan soalan oleh penonton tentang prinsip Pas sekiranya DAP meminta maaf.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan keputusan Pas mengadakan hubungan tahaluf siyasi dengan mana-mana pihak adalah berasaskan kepada tuntutan hukum.

"DAP wujud di Malaysia puluhan tahun. Mengapa dulu, kita tidak bertahaluf dengan DAP? Kerana hukum dan syarat bertahaluf siyasi yang digariskan di dalam Islam masih belum mencukup syarat menyebabkan kita tidak mengadakan hubungan tahalif siyasi dengan DAP.

"Apabila syarat yang ditetapkan dalam kitab-kitab Fekah yang utama menggariskan kepada kita bahawa syarat dan peraturan tahaluf yang membabitkan Pas ini sudah melangkah ke peringkat wajib, maka kita mengadakan hubungan tahaluf siyasi kerana hukumnya telah menjadi wajib.

"Saya nak tegaskan, kita nak rujuk balik, Pas berpegang dengan kaedah syarak. Kalau syarak mewajibkan, kita akan buat. Bukan sahaja dengan DAP, dengan orang lain pun," katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya mana-mana pihak yang bertahaluf siyasi melanggar syarat yang ditetapkan Pas, secara langsung perjanjian itu terbatal.

"Apabila kita bertahaluf dengan DAP, syarat tahaluf siyasi kita lengkap. Apabila syarat tahaluf terbatal...sebab itu apabila dalam kenyataan MSU, saya sebut tahaluf siyasi terbatal bukan MSU yang membatalkan, bukan Pas yang membatalkan.

"Tapi apabila DAP ini melanggar syarat dan peraturan yang kita tetapkan itu, maka dengan sendirinya tahaluf terbatal. Apabila tahaluf terbatal, walaupun manis, mesti buang," katanya.

Nik Zawawi yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama Pusat berpendapat, bermusuh dalam politik tidak sepatutnya berterusan sampai bila-bila.

"Berpolitik kita mesti berpandangan jauh. Jangan sampai kita berpolitik ini, kita bermusuh dengan satu-satu kumpulan menyebabkan kita meletakkan mereka ini sebagai musuh kepada kita sampai bila-bila. Tidak. Kita silap. Kita bermusuh ketika mereka menjadi musuh.

"Kita mesti bertahaluf, bergabung apabila syarat dalam Islam mewajibkan kita bergabung dengan siapa sahaja. Ini kita kena ingat. Sebab itu dalam Islam kita kena banyak sabar. Kadang-kadang kita kena bergabung dengan musuh. Sabar, itu kehendak Islam bukan kehendak kita," katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor