Sungkai - "Mak dari mula memang berniat untuk meninggal dunia di sana, walaupun sedih, kami reda...," kata anak ketiga Allahyarham
Rusiah Suar, 56, yang disahkan meninggal dunia dalam kemalangan runtuhan kren di Masjidil Haram, Jumaat lepas.
Hariyanti Ahmad Badri, 31, berkata, sejak awal, ibunya beberapa kali menyebut mengenai kematian di tanah suci itu, namun dianggap gurauan oleh ahli keluarga.
"Ketika menghantarnya berlepas, Selasa lalu, dia nampak ceria dan gembira, Tuhan dah tentukan jalannya begitu, impian besar dia untuk meninggal dunia di sana, dimakbulkan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Gunung Besout 2, di sini, semalam.
Hariyanti berkata, mereka dimaklumkan akan berita kematian itu kira-kira jam 7.45 petang semalam oleh pengurusan Tabung Haji.
Katanya, Tabung Haji memberi jaminan untuk menguruskan proses pengebumian ibunya di Makkah.
"Kami memberi sepenuh kepercayaan kepada Tabung Haji atas urusan itu, setakat ini, tiada maklumat punca kematian, namun mereka jumpa arwah di hospital," katanya.
Beliau berkata, ketika insiden runtuhan itu berlaku, Allahyarham sedang melakukan ibadah sa'ei bersama lima rakan lain.
"Rakan ibu maklumkan, dia rebah ketika kejadian, mereka cuba membantu, namun dihalang.
"Ketika itulah, mereka terputus hubungan dan kelibat ibu gagal dikesan," katanya.
Jawatankuasa masjid dimaklumkan telah melakukan solat jenazah ghaib sebaik pengumuman mengenai kematian Allahyarham dibuat, malam tadi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor