Pages

Sunday, September 20, 2015

BERSYUKUR HASRAT IBU DIMAKBULKAN


Bersyukur hasrat ibu dimakbulkan


Machang - "Emak cukup gembira bila dimaklumkan dapat mengerjakan ibadat haji tahun ini. Malah ketika majlis solat hajat sempena pemergiannya ke Makkah, dia sendiri jemput penduduk kampung seorang demi seorang.

"Dia sangat gembira apabila impiannya selama ini tercapai," cerita Rahimah Yaacob, iaitu anak bongsu jemaah haji Malaysia, Mek Yam Ismail, 64, yang meninggal dunia di Makkah, semalam.

Mek Yam meninggal dunia selepas dikatakan tidak sedarkan diri di pejabat Muasasah ketika menunggu untuk masuk ke tempat penginapan semasa jalan masuk ke hotel tersebut, di sekitar kawasan Masjidil Haram ditutup untuk solat Jumaat, kelmarin.

Menurut Rahimah, emaknya bersungguh-sungguh mahu mengerjakan haji pada tahun ini walaupun terpaksa pergi melalui pakej memandangkan gilirannya melalui Tabung Haji belum tiba.

"Emak keluarkan semua duit simpanannya dan kami adik beradik tambah sikit-sikit. Emak dan bapa saudara saya serta sepupu juga ikut pakej tersebut," katanya, semalam.

Rahimah berkata, walaupun sedih dengan pemergian emaknya, mereka adik beradik tetap bersyukur kerana pemergian Mek Yam dalam keadaan baik, pada hari yang mulia dan di tempat suci.

Menurutnya, mengenangkan perkara itu, baru mereka semua faham kenapa Mek Yam begitu gembira dan bersungguh-sungguh mahu menunaikan haji tahun ini.

Rahimah memaklumkan Mek Yam tidak menghidap sebarang penyakit dan masih mampu menoreh getah beberapa bulan sebelum bertolak ke Makkah serta sanggup berjimat demi merealisasikan impiannya.

"Arwah bertolak dari Kota Bharu pada Khamis, jam 9 pagi, untuk menaiki pesawat ke Makkah pada sebelah petang. Saya dan kakak serta keluarga di sini hanya hantar dia ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, manakala dua kakak saya menunggu di Kuala Lumpur.

"Saya difahamkan dia baru sahaja sampai di Makkah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Makcik saya ada telefon sebaik sahaja emak meninggal dunia, namun talian tidak jelas dan saya hanya dengan dia cakap emak sudah tiada," katanya.

Tambahnya, dia cuba menghubungi kembali ibu saudaranya itu tetapi gagal dan hanya mengetahui cerita sebenar selepas seorang kawan memaklumkan kejadian melalui media sosial Facebook pada kira-kira jam 6 petang.

Sementara itu, kakaknya, Silawati Nawi berkata, emaknya ada menunjukkan tanda-tanda dia akan pergi, namun mereka sekeluarga menganggap ia perkara biasa.

Selepas emak meninggal dunia baru saya perasan. Paling ketara ketika saya minta dia doakan anak saya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia jawab dia sendiri pun tak tahu sampai atau tidak ke Makkah.

"Kami bersyukur kerana hasratnya tercapai walaupun sedih dengan pemergiannya...dia tempat kami mengadu dan mencurah kasih," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor