Subang Jaya - Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam diumum sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Pakatan Harapan berjaya merampas kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia merupakan langkah pertama dibuat oleh Pakatan Harapan yang baharu dibentuk menerusi persidangan meja bulat hari semalam.
“Langkah pertama kami adalah mengumumkan Anwar sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan ini memenangi PRU yang akan datang.
“Kami yakin bahawa beliau adalah antara pemimpin berkaliber yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang wujud dalam pentadbiran pemimpin negara masa kini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media penubuhan pakatan baharu itu di sini, semalam.
Pakatan Harapan ditubuhkan selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel di sini, semalam.
Wan Azizah dalam pada itu melahirkan keyakinan ke atas penubuhan pakatan baharu yang disertai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.
“Kami alu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama kami dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan yang berterusan.
“Penyertaan dalam pakatan mesti tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik. Kami yakin kewujudan pakatan ini akan memberi harapan baharu kepada rakyat dalam membentuk sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang dan perlembagaan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor