Pages

Wednesday, September 23, 2015

ALASAN TAK TAHU UNDANG-UNDANG


Alasan tak tahu undang-undang


Banda Hilir - Tidak tahu undang-undang merupakan alasan diberikan peniaga di Jonker Walk, di sini yang gagal mempamerkan tanda harga.

Bagaimanapun, itu bukan alasan munasabah untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

Biarpun dikatakan baru beroperasi sejak seminggu lalu, kedai menjual barangan kecantikan di Jonker Walk di sini tidak terlepas dikenakan tindakan kompaun menerusi Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Rosley Abdullah berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap peniaga yang jelas melakukan kesalahan.

Menurutnya, peraturan menerusi kementerian itu sudah lama wujud sejak 1972 dan sepatutnya setiap peniaga boleh memahami dan mematuhinya.

“Ada sesetengah peniaga kata tidak tahu undang-undang sedangkan sudah wujud lama dan sememangnya alasan ini tidak diterima.

"Sebanyak tujuh premis menjual produk kesihatan dan kecantikan juga diberikan notis peringatan selain sejenis krim kolagen dirampas di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan di Jonker Walk ini sebenarnya susulan rungutan orang ramai khususnya pelancong mengadu mengenai harga barangan mahal.

"Pelancong akan tertipu dengan sikap tamak peniaga selain kuasa sebagai pembeli hilang kerana tiada tanda harga dipamerkan.

"Apabila tiada tanda harga pembeli tidak boleh membuat sebarang perbandingan selain jualan murah ditawarkan juga tidak mendapat kelulusan KPDNKK," katanya kepada media selepas mengikuti operasi bersepadu membabitkan KPDNKK, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Rela.

Rosley berkata, operasi membabitkan 50 pegawai dan anggota penguatkuasa itu melakukan pemeriksaan 200 premis bermula jam 11.30 pagi hingga 1.30 petang melibatkan pengeluaran kompaun bernilai kira-kira RM2,000.

Beliau berkata, antaranya membabitkan tiga kes di bawah AKHAP dengan nilai kompaun RM900, Akta Timbang dan Sukat 1972 (3 kes dengan RM600 kompaun) dan Akta Perihal Dagangan 1972 (harga jualan murah) sebanyak dua kes melibatkan RM500 kompaun.

"Sementara SSM mengeluarkan empat notis di bawah Akta Daftar Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor