Kota Bharu - Pengalaman bertempur dengan pengganas komunis pada 1970-an menjadi sesuatu yang sukar dilupakan oleh pesara polis Kamarolzaman Ab Majid, 77, dan ia mengingatkan beliau bahawa perjuangan mengisi kemerdekaan negara bukan sesuatu yang mudah.
Kamarolzaman, bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) berkata, walaupun ia sudah lama berlaku, pengalaman itu segar dalam ingatannya.
Menurutnya, pengalaman yang paling diingatinya adalah insiden beliau dan pasukannya diserang di Lenggong, Perak pada 1972, yang menyebabkan kematian enam rakannya.
“Saat menghadapi enam rakan anggota (PPH) yang mati dalam satu serangan segerombolan komunis di Lenggong, Perak, ketika itu kami baru nak memasuki hutan dengan konvoi lori, tiba-tiba diserang komunis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Salor, semalam.
Dalam nada sebak, beliau berkata pengganas komunis bertindak kejam dengan menembak dan menikam rakan-rakannya dengan bayonet.
Sepanjang berkhidmat dalam PPH, Kamarolzaman pernah ditugaskan menentang komunis di banyak kawasan hutan di negara ini antaranya Bentong, Pahang; Lenggong, Perak dan Gua Musang, Kelantan sehingga ke sempadan Malaysia-Thailand.
Bekas Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Pasir Mas itu turut, menasihati golongan muda supaya bersatu hati menempuh cabaran dunia hari ini dan berjuang mengisi kemerdekaan tanpa mengira ideologi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor