Pages

Friday, August 14, 2015

PENURUNAN NILAI YUAN CETUS PERANG MATAWANG DUNIA




Berita kejatuhan nilai ringgit telah mengejutkan ramai rakyat Malaysia namun tahukah mereka bukan sahaja matawang negara kita yang terjejas sebaliknya negara lain turut menerima kesan yang sama.

Banyak faktor luar dikaitkan dengan keadaan ini termasuk kejatuhan harga komoditi dan kelembapan ekonomi China.

Bagaimanapun faktor yang paling membimbangkan pakar ekonomi ialah mengenai keadaan ekonomi di China, yang memberikan kesan besar kepada pasaran saham Asia.

Pada Selasa, nilai yuan turun hampir 2 peratus dan semalam, Bank Pusat China sekali lagi mengejutkan dunia dengan mengumumkan tambahan penurunan.

Hari ini, untuk hari ketiga berturut-turut, China telah menurunkan nilai yuan sebanyak satu peratus berbanding dolar. Ia merupakan penurunan nilai yuan yang terbesar dalam masa 20 tahun.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan berhubung perang matawang dalam usaha China untuk meningkatkan eksportnya.

Apabila yuan lemah, ia akan menjadikan produk China di luar negara menjadi lebih murah, sekali gus membolehkan syarikat-syarikat China lebih kompetitif di pasaran antarabangsa.

Keadaan itu memberikan kejutan kepada ekonomi dunia yang selama ini menyangka krisis kewangan di Greece akan menyebabkan dunia berdepan dengan kegawatan ekonomi.

Namun kini, pakar ekonomi memberikan mesej jelas `lupakan Greece’ kerana krisis kewangan di China boleh menjerumuskan dunia ke dalam kemeseletan.

Ia juga mengakibatkan firma-firma yang bergantung kepada permintaan di negara China, telah menyaksikan saham mereka menurun. Saham Apple umpamanya jatuh 5 peratus disebabkan China merupakan pasaran terbesar dunia untuk telefon pintar.

China yang sebelum ini dianggap sebagai raksasa Asia yang sedang tidur, telah bangkit dan menjadi salah satu daripada dua kuasa ekonomi terbesar dunia.

Sebut sahaja apa barang-barang yang dikehendaki, semuanya ada daripada mainan kanak-kanak hingga ke elektronik, China memilikinya.

Dengan eksportnya yang menimbun di pasaran dunia, China dengan 1.4 bilion penduduk berjaya membangunkan pertumbuhan ekonominya menjadi sensasi.

Namun seminggu yang lalu, statistik menunjukkan aktiviti pengeluaran kilang di China berada pada paras yang paling rendah bagi tempoh dua tahun, manakala harga yang dibayar kepada pengeluar domestik pula jatuh selama 40 bulan berturut-turut.

Statistik juga menunjukkan eksport China jatuh kira-kira 8 peratus pada bulan Julai, sekali gus menambahkan kebimbangan hala tuju ekonomi kedua terbesar dunia ini. Dan tiada siapa yang menduga perkembangan yang sungguh dramatik ini akan berlaku.

Keadaan ini memberikan kesan kepada seluruh dunia dengan pembiaya kewangan dan ahli politik turut merasakan getarannya dan berharap keajaiban ekonomi akan berlaku.

Ia juga menyebabkan penggubal undang-undang di Amerika Syarikat menuduh China memanupulasi matawang, sekali gus meminta agar undang-undang mengelak manupulasi matawang dimasukkan ke dalam perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara itu.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor