Dua rumah di Taman Desa Keranji, di sini, terjejas akibat dilanda banjir kilat sekitar jam 6.30 petang kelmarin dengan anggaran kerugian sekitar RM2,000 selepas barang dalam rumah tidak sempat diselamatkan kerana air melimpah terlalu cepat.
Seorang mangsa, Mohd Amiruddin Mohammad Yunus, 32, berkata, pada petang kejadian beliau pulang dari kerja dalam keadaan hujan lebat namun ketika tiba di rumah air belum melimpah tapi longkang telah penuh.
“Ketika tiba di rumah saya sempat lihat longkang sudah penuh tetapi tidak menyangka ia akan melimpah masuk ke dalam rumah kerana sudah hampir 10 tahun saya menyewa di sini tidak pernah berlaku banjir kilat.
“Saya pergi ke bilik air dan terkejut lihat air sudah bertakung kerana ditendang air dari luar. Saya bergegas ke depan rumah semula dan lihat air sudah mula memenuhi bahagian depan rumah seterusnya dalam masa beberapa minit melimpah masuk ke dalam rumah mengalir terus ke dapur. Dalam jam 7 petang baru hujan berhenti dan air mula surut,” katanya.
Menurutnya, anggaran awal kerugian sekitar RM1,500 kerana terdapat perabot yang rosak selepas terkena air selain perlu mencuci lantai dan karpet yang kotor serta berselut selain meninggalkan warna seperti warna tanah.
Katanya, kejadian yang berlaku itu kemungkinan besar disebabkan air yang turun dari tapak projek pembinaan kedai di atas bukit di depan rumahnya yang ditambah pula dengan hujan yang lebat hingga longkang tidak mampu menampung jumlah air ketika itu.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang lagi kerana ia mendatangkan kerugian kepada saya dan mangsa lain yang terjejas.
“Mungkin hari ini rumah saya dan jiran sahaja yang terjejas tetapi pada masa akan datang kita tidak tahu lagi apa akan terjadi kerana fenomena alam sekarang tidak sama seperti dulu yang berlaku di luar jangka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor