Shah Alam - Kod BB670 yang dikenal pasti pada serpihan pesawat yang dijumpai Pulau La Reunion di Lautan Hindi mungkin merungkai misteri kehilangan pesawat MAS MH370.
Penganalisis kejuruteraan penerbangan, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, melihat kepada data ping yang dianalisis sebelum ini kemungkinan serpihan itu milik pesawat MAS yang hilang setahun lalu itu adalah tinggi.
“Setakat ini munasabah untuk kita katakan mungkin ia milik MH370 berdasarkan statistik data ping yang dikesan sebelum ini pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.
“Jawapan itu boleh dirungkai oleh pihak MAS dan Boeing apabila terdapat kod BB670 pada serpihan itu. Komponen kapal terbang itu unik kerana setiapnya akan ada kod masing-masing, jadi saya yakin melalui kod itu dapat dikenal pasti serpihan itu milik siapa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahmad Shamsuri berkata, bahagian sayap pesawat adalah ringan, tidak mustahil serpihan itu terapung sehingga ke bahagian barat lautan Hindi.
“Keadaan ombak dan angin yang kuat di Lautan Hindi sudah pasti mampu membawa serpihan itu ke mana sahaja.
“Serpihan itu juga dikatakan telah diliputi cengkerang, keadaan itu mungkin kerana ia telah berada lama di dalam air, apatah lagi dalam tempoh setahun lebih,” katanya.
Beliau percaya pengesahan dalam masa terdekat mampu dibuat pihak berkuasa yang terlibat berdasarkan kod rujukan yang ditemui itu.
Ditanya apakah langkah seterusnya boleh dilakukan oleh pasukan pencari ketika ini, beliau berkata, pihak berkuasa yang terlibat perlu melakukan analisa data yang ada melalui aplikasi komputer bagi membolehkan pencarian baru dilakukan.
“Pihak berkenaan perlu mengambil kira kelajuan angin dan ombak di kawasan berkenaan serta data-data daripada statistik sebelum ini bagi mendapatkan jawapan terkini.
“Apabila sudah dikenal pasti, carian perlu dilakukan di kawasan pulau-pulau berhampiran kerana kemungkinan akan ada lagi serpihan yang terdampar di pantai,” katanya.
Menurut Ahmad Shamsuri lagi, sekiranya pengesahan menunjukkan serpihan itu milik MH370, sudah pasti sedikit sebanyak meleraikan belenggu ahli keluarga yang terlibat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor