
Kota Bharu - Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika sidang media di Kota Darul Naim baru baru ini bahawa pihaknya mencadangkan kepada pusat untuk membina lapangan terbang baharu di Sungai Bagan, Machang sesuatu yang mengejutkan.
Dikatakan kenyataan Ahmad itu dikeluarkan secara tidak sengaja ketika wartawan bertanyakan isu persediaan dan bantuan kerajaan negeri kepada jemaah haji musim ini.
Ahmad menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi bantuan sewajarnya kepada jemaah haji dari Kelantan dan menyediakan peruntukan khas dengan menyediakan pusat operasi, yang mana jemaah tidak perlu lagi ke Kelana Jaya.
Susulan itu katanya, kerajaan negeri bersedia memberi tanah kepada pusat di Sungai Bagan bagi membolehkan lapangan terbang antarabangsa dibangunkan termasuk boleh membawa penerbangan terus jemaah haji ke Jeddah tanpa melalui KLIA.
Cadangan itu diluluskan dalam mesyuarat exco, sekali gus menyokong hasrat wakil rakyat Umno Kelantan sebelum ini menyuarakan cadangan yang sama ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar.
Kenyataan Ahmad dilihat selari dengan pendapat Adun Kuala Balah, Aziz Derashid bahawa tanah di LTSIP tidak boleh lagi menampung sekiranya tindakan pembesaran lapangan terbang itu dibuat.
Jika pembesaran dibuat di sebelah selatan, ia akan mengorbankan bangunan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) yang menjadi nadi penting kepada Pas Kelantan.
Pada dasarnya, cadangan itu dilihat tidak realistik ketika ini kerana untuk membangunkan sebuah lapangan terbang baharu memerlukan kewangan yang besar, apatah lagi bagi sebuah negeri yang bukan ditadbir oleh kerajaan pusat.
Malah, cadangan itu hadir ketika mana projek pembesaran LTSIP sudah diluluskan dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke 11.
Apakah idea ini terlalu lewat hadir, atau ia hadir ketika manat konsensi perladangan kelapa sawit di Sungai Bagan yang diberikan kepada sebuah syarikat sudah hampir tamat.
Sudah tentu ia bukan dari cadangan menteri besar semata-mata, sebaliknya telah dibahaskan dan diteliti oleh pegawai pegawai termasuk dari Unit Perancangan Ekonomi (Upen).
Walau bagaimanapun, diakui cadangan itu membuka dimensi baru kepada pelan perancangan masa depan Kelantan, khususnya pembangunan di sektor tengah Kelantan.
Bandar baru Sungai Bagan
Tanah milik kerajaan ini sememangnya menjadi tumpuan. Ini kerana ia berada di lokasi yang strategik iaitu berada di tengah tengah Kelantan.
Dengan keluasan yang mencapai 800 hektar itu membolehkan apa juga projek mega boleh dilaksanakan. Lokasi ini juga berdekatan dengan projek Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai, lebuh raya yang menjadi nadi Kelantan di masa hadapan.
Sudah pasti cadangan ini menggembirakan masyarakat di Kelantan Selatan ( Kuala Krai dan Gua Musang) dan Kelantan tengah seperti Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang kerana faktor jarak lokasi LTSIP berada di penghujung negeri .
Difahamkan mengikut plan draf pembangunan Majlis Daerah Machang, tapak itu dikatakan akan dijadikan Bandar Baru Sungai Bagan pada 2020. Tetapi atas faktor kewangan kerajaan negeri, ia sangat sukar direalisasikan.
Ini jelas, apabila beberapa perancangan bandar baru di beberapa lokasi di Kelantan masih tidak dapat dibangunkan atau atau progres pembangunannya lembap.
Sekiranya benar, kerajaan negeri sudah menetapkan sasaran untuk menjadikan Sungai Bagan sebagai sebuah lapangan terbang di masa hadapan, mereka harus beriltizam bagi merealisasikan hasrat itu.
Usaha membesarkan landasan LTSIP
Isu mahu menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP ) Pengkalan Chepa, sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa bukanlah perkara baru.
Cadangan ini telah dikemukakan pelbagai pihak sama dari dalam mahupun luar memandangkan potensi lapangan terbang ini untuk menjadi hub penerbangan pantai timur dan antarabangsa sangatlah besar.
Antara faktornya, jumlah kehadiran penumpang dan pendaratan kapal terbang antara yang tertinggi di negara, menjadikan lapangan terbang ini sentiasa sibuk.
Ia jauh mengatasi jumlah pendaratan kapal di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu yang telah pun diiktiraf sebagai lapangan terbang antarabangsa walaupun margin penumpangnya rendah.
Ia ditambah dengan faktor geografi LTSIP yang berhampiran Thailand sekali gus mampu menarik rakyat Selatan Thailand menggunakan lapangan terbang terbabit.
Potensi industri pelancongan juga dikatakan meningkat mendadak sekiranya operasi LTSIP dinaik taraf, jarak dan masa perjalanan ke Bangkok atau atau Ho Chi Min, (Vietnam) mahupun ke China jauh lebih singkat berbanding perjalanan dari KLIA.
Selain itu juga, faktor jumlah rakyat Kelantan yang mengerjakan haji lebih tinggi berbanding dengan negeri Pantai Timur yang lain turut menyumbang kepada hasrat itu.
Pada tahun 2014, LTSIP mengendalikan sejumlah 1,800,836 orang penumpang sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur.
Ia sudah jauh mengatasi had kapasiti lapangan terbang tersebut sekitar 1.5 juta dan unjuran pada 2015 boleh mencecah kepada dua juta penumpang.
Trend peningkatan dilihat konsisten apabila jumlah keseluruhan penumpang pada 2013 adalah 1,585,236 meningkat 25 peratus berbanding 1,259,206 pada tahun 2012.
Mengikut laman web rasmi Malaysia Airports Holding (MAHB), jumlah penumpang di LTSIP pada suku pertama tahun ini adalah sebanyak 477,565 meningkat 24 peratus berbanding masa yang sama pada 2014.
Jika trend peningkatan ini berterusan sepanjang tahun, ini bermakna pada 2020, kehadiran penumpang di LTSIP boleh mencecah sehingga melebihi tiga juta penumpang.
Pastinya, jika lapangan terbang ini bertaraf antarabangsa, angka ini berubah berkali ganda dan boleh menyamai atau melebihi jumlah lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Johor Bharu yang kini menjadi antara jumlah penumpang terbesar selepas KLIA.
Namun, oleh kerana landasan LTSIP pendek dan tidak memenuhi spesifikasi untuk pendaratan kapal terbang seperti B747-400, B777-200, A330-300, A350 sekali gus ruang untuk menjadikan ia lapangan terbang bertaraf antarabangsa sukar dilaksanakan.
Untuk rekod, panjang landasan LTSIP ketika ini adalah 2,400 meter (m), berbanding landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (3,480 m) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (2,804 m).
Kerajaan Kelantan sebelum ini beberapa kali mengeluarkan kenyataan agar pembesaran landasan perlu disegerakan bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat sekali gus menjadikan ia sebagai lapangan bertaraf antarabangsa.
Tanah di hujung landasan ini juga dikatakan sudah lama diperuntukkan untuk tujuan itu dan dikatakan telah diambil sejak Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) lagi.
Namun pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasukkan rancangan menaik taraf terminal LTSIP di bawah RMK 11 baru-baru ini membawa khabar gembira dan sememangnya ditunggu-tunggu rakyat Kelantan.
Difahamkan mengikut perancangan, bangunan terminal sedia ada yang berkeluasan 12,000 meter persegi akan dibesarkan untuk menampung sehingga empat juta penumpang setahun.
Ia juga dikatakan dibangunkan untuk skala penerbangan antarabangsa termasuk mempunyai dua terminal berasingan iaitu domestik dan luar negara.
Begitu juga bahagian kargo juga dikatakan diwujudkan bagi memperkembangkan lagi sektor ekonomi di negeri ini. Bagaimanapun, status pemanjangan landasan masih belum dinyatakan.
Secara kesimpulannya, jangan jadikan hasrat besar sebagai cadangan melepaskan batuk di tangga sahaja. Membuat cadangan kepada pusat dan menyerahkan sebulat-bulatnya kepada kerajaan persekutuan untuk dilaksanakan seperti ‘menyerahkan anak tanpa dinikahkan’. Perancangan tinggal perancangan.
Jadikan contoh kerajaan Kedah yang bersungguh-sungguh mahu membangunkan Lapangan Terbang Kulim, walaupun ada yang sinis dan membuat tanggapan negatif terhadap hasrat itu.
Mereka membuat perancangan rapi termasuk kajian mendalam dan bersedia membangunkan sendiri dengan apa jua keupayaan yang ada sekiranya kerajaan pusat tidak mampu melakukannya.
Sudah tentu Kelantan sudah belajar dengan kritikan dan hentaman terhadap perancangan dan janji dalam melaksanakan pembangunan beberapa projek mega.
Kajian lanjut perlu dibuat, selain dari kuasa dan perbincangan politik, gunakanlah kepakaran dan idea anak-anak Kelantan di luar yang sudah pasti menyokong apa jua pembangunan.
Rakyat jelata sudah pasti mahu melihatnya jadi realiti dan tidak hanya mahu bermimpi di siang hari!!
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor