Pages

Saturday, August 15, 2015

[KUANTAN] PULANGAN LUMAYAN FAKTOR PENYEBAB


Pulangan lumayan faktor penyebab


Pulangan lumayan pemandu lori bauksit antara faktor yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Walaupun banyak aduan, tindakan penguatkuasaan dan laporan polis telah dibuat namun pemandu lori bauksit ini masih tidak serik sebaliknya terus bermaharajalela di jalan utama menuju ke Pelabuhan Kuantan di sini.

Terbaharu, dalam tempoh tiga jam Ops Hippo dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula jam 8.00 pagi di Jalan Kampung Sungai Ular-Gebeng dekat Pelabuhan Kuantan semalam, sebanyak 25 buah lori telah ditahan dan kesemuanya membawa muatan berlebihan kira-kira dua kali ganda berbanding had muatan asal.

Dalam operasi yang dianggotai 42 anggota SPAD, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Polis mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk menambah panel pada badan lori, membawa muatan yang tidak dibenarkan dan membawa muatan melebihi paras yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Penguat kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, dalam operasi itu, sebanyak 50 kes dikenal pasti membabitkan pelbagai kesalahan melibatkan lori bauksit.

Menurutnya, ada antara pemandu lori yang ditahan melakukan kesalahan berulang sebanyak dua atau tiga kali namun masih berdegil kerana ditawarkan pulangan lumayan hasil aktiviti mengangkut bahan mineral itu.

“Mereka sedar bahawa tindakan tersebut membawa muatan berlebihan adalah salah namun disebabkan sifat tamak terhadap komisen yang ditawarkan majikan, mereka sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan mereka mengangkut bauksit dengan muatan sehingga 80 tan meskipun had muatan asal lori mereka hanyalah 40 tan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain selain menyebabkan kegagalan sistem brek dan masalah tayar,” katanya selepas meninjau Ops Hippo di sini, semalam.

Che Hasni berkata, pihaknya turut mengesan pemandu lori menggunakan lori yang tidak sesuai untuk mengangkut bauksit.

Katanya, kenderaan yang tidak sesuai boleh menyebabkan bahan mineral tersebut terkeluar dari kenderaan mereka dan merosakkan kawasan sekeliling.

“Keadaan akan bertambah teruk pada hari hujan dan berisiko mengakibatkan kemalangan.

“Berdasarkan statistik sepanjang tahun ini, sebanyak 699 buah lori telah diambil tindakan di negeri Pahang atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan pelbagai kesalahan melibatkan keselamatan,” katanya.

1 comment:

  1. Buat road block bersama polis berhampiran dengan tempat bauket di hantar.Pasti tiada lori bauket lagi berada di jalan jalan.

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor