Pages

Saturday, August 15, 2015

[KUALA LIPIS] PENANTIAN LIMA TAHUN BERAKHIR


Penantian lima tahun berakhir


Penantian hampir lima tahun penduduk kawasan Jelai di sini untuk memiliki tanah berakhir apabila kerajaan negeri meluluskan 80 hektar tanah rizab di tiga buah kampung di bawah Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) menerusi projek pertanian dan kediaman.

Rata-rata pemohon terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah memperoleh hak milik seluas 0.4 hektar bagi satu lot sekali gus meredakan keresahan penduduk.

Penerima lot terdiri daripada 50 penduduk Kampung Bukit Betong, Kampung Keledek (50), Kampung Tanjong Gahai (50), manakala 50 lagi dari Persatuan Belia Tunas Harapan Tanjong Gahai juga masing-masing menerima satu lot tanah. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian lot itu membuktikan kerajaan negeri prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah yang belum memiliki tanah di kawasan itu. 

“Kita berharap penerima bolehlah mengusahakan projek pertanian komersil dan membina kediaman di tapak berkenaan untuk jaminan kehidupan yang lebih selesa. 

“Saya berharap mereka tidak menjual tanah lot ini kepada orang lain sehingga menyusahkan keluarga dan sepatutnya mengenang budi kerajaan negeri yang memberikan tanah ini secara percuma berasaskan sokongan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya selepas majlis cabutan undi lot tanah berkenaan bagi penduduk kawasan Jelai, di Pejabat Daerah Lipis, di sini, kelmarin.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai, berkata, pemilik berkenaan cuma perlu membayar premium tanah bernilai RM500 untuk satu lot, manakala RM13 bagi pengurusan pelan tanah untuk memudahkan kerajaan negeri menyediakan dokumen hak milik.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang menimbang permohonan lot baharu untuk kediaman dan pertanian di beberapa buah kampung tradisional terletak di persisiran Sungai Jelai, kawasan itu untuk kelulusan tidak lama lagi dan pemohon perlu bersabar.

“Pemberian lot berkenaan antara mekanisme kerajaan negeri di bawah Rancangan Pembesaran Kampung memberi peluang golongan berpendapatan rendah termasuk belia yang berkeluarga terbabit dengan pertanian komersil. 

“Projek ini selari dengan hasrat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar menerusi produk pertanian komersil dan membina kediaman yang selesa di tapak baharu serta menghindarkan dari ancaman banjir pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abd Hamid, 48, berkata penduduk berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana pemberian lot berkenaan sekali gus dapat menyelesaikan masalah ketiadaan tapak kediaman dan projek pertanian.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor