Pages

Thursday, August 13, 2015

ERTI MERDEKA BAGI MERDEKA BIN OSMAN


merdeka


Kuala Lumpur - Beliau memiliki nama yang istimewa dan laungan keramat ketika detik negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 terhulur sebagai namanya. 

Merdeka bin Osman, yang dilahirkan 15 minit selepas bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan bagi menggantikan Union Jack, bukan sekadar berbangga memiliki nama itu malah bersyukur menjadi rakyat Malaysia. 

Laungan merdeka, yang bergema pada detik bersejarah itu, menimbulkan ilham kepada bapanya untuk menamakannya dengan nama Merdeka. 

Meskipun lahir sebagai anak merdeka namun semangat para pejuang menuntut kemerdekaan termasuk allahyarham bapanya yang tinggi semangat patriotik tetap mengalir dalam tubuhnya. 

Merdeka, seorang pesara yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-58 pada 31 Ogos 2015 pernah diejek oleh rakan-rakan semasa masih bersekolah kerana nama itu. 

Beliau juga hampir kecewa dengan nama yang tercatat atas sijil kelahiran dan kad pengenalannya kerana sering diejek namun kini beliau amat berbangga menjadi pemilik nama itu. 


BANGGA MILIKI NAMA MERDEKA

"Saya amat berbangga memiliki nama Merdeka. Ia menyuntik makna besar," kata pesara pembantu perawatan pergigian itu kepada Bernama. 

Lelaki bersemangat patriotisme itu juga tidak pernah lupa untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa di kediamannya di Santan, Perlis dan akan menggantikannya apabila bendera berkenaan lusuh. 

Walaupun dilahirkan sebagai anak merdeka namun beliau tidak pernah lupa sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan oleh para pejuangnya. 

Beliau turut berbangga dengan semangat patriotisme bapanya, allahyarham Osman Mat Saman yang mendaftar namanya dengan nama Merdeka selepas dilahirkan oleh ibunya, allahyarham Safiah Bakar. 

Ketika rakyat negara ini gembira dengan hadiah sebuah kemerdekaan yang diperjuangkan tanpa pertumpahan darah, kelahiran beliau pada saat laungan merdeka bergema di seluruh pelosok negara pastinya menjadi hadiah bermakna kepada ibu bapanya. 

Sambutan hari kebangsaan juga menjadikan nama Merdeka terus segar malah beliau sering diundang untuk menjayakan sambutan di peringkat negeri Perlis selain sambutan di peringkat kebangsaan. 


SEHATI SEJIWA DEMI NEGARA

Mengenai tema Sehati Sejiwa bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015, Merdeka berkata ia bukan sekadar tema tetapi seharusnya dihayati dengan penuh tulus ikhlas oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Kenikmatan hidup hasil kemerdekaan akan lebih bermakna apabila rakyatnya yang berbilang kaum hidup dalam suasana harmoni dan sehati sejiwa selain bertoleransi. 

Beliau berharap generasi muda sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan dan tidak mengambil risiko sehingga mengundang semula penjajah ke negara ini. 

Merdeka berbangga meraikan ulang tahun kelahirannya bersama sambutan Hari Kebangsaan kerana ia tetap mengingatkannya akan detik bersejarah kemerdekaan negara. 

Setiap kali sambutan hari kebangsaan, Jalur Gemilang berkibar megah di segenap pelosok terutama di lokasi sambutan manakala tarikh berkenaan juga diisytihar cuti umum. 

"Saya sebahagian daripada isi sambutan hari kebangsaan. Ada kibaran Jalur Gemilang, ada perarakan dan rakyat Malaysia bercuti," katanya yang memenuhi hobi masa lapang dengan memancing. 


BERJIHAD KEKALKAN KEMERDEKAAN

Beliau turut mendoakan keamanan negara yang berterusan dan berharap setiap rakyat Malaysia menanam semangat jati diri yang tinggi terhadap negara. 

Selain itu beliau berharap rakyat negara ini yang menikmati kemerdekaan supaya berjihad ke arah memastikan negara terus kekal merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan yang jelas merugikan. 

Merdeka berkata pemimpin terdahulu telah meletakkan asas perpaduan yang teguh untuk membawa negara mencapai kemerdekaan dan asas itu tidak boleh dirobekkan dengan mainan politik sempit. 

"Saya bersyukur dengan kemakmuran dan keamanan negara sebagaimana saya bersyukur memiliki nama Merdeka," katanya. 


BERKONGSI KEBANGGAAN

Pastinya Merdeka bukan keseorangan berkongsi kebanggaan kerana memiliki nama yang istimewa di negara ini. 

Sebelum ini pernah muncul nama-nama termasuk Lee Li Meng @ Merdeka Lee, seorang wanita di Kedah yang berbangga dengan nama itu. 

Selain itu, seorang nelayan di Pulau Pinang Mohd Merdeka Ismail turut berbangga dengan namanya. 

Seperti Merdeka, mereka turut berkongsi tarikh kelahiran yang serentak dengan hari pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Mereka adalah antara ribuan insan yang lahir pada tarikh kemerdekaan negara tetapi yang membezakannya ialah mereka memiliki nama yang istimewa. 

Di Sarawak, dua insan berbangga dengan memiliki nama Malaysia dan
kedua-duanya lahir pada 16 Sept 1963 ketika pengisytiharan Malaysia. 

Malaysia Sahat, lelaki yang menetap di Kota Samarahan dan Malaysia Yap, wanita yang tinggal di Petra Jaya pastinya sentiasa mengingati sejarah kelahiran negara. 

Sama ada mereka dilahirkan pada tarikh pengisytiharan kemerdekaan atau kelahiran Malaysia, mereka tetap menyumbang semangat patriotisme untuk rakyat negara ini. 

Yang pasti nama mereka tetap terlakar dalam peristiwa penting negara.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor