
Kota Bharu – Taktik seorang lelaki berselindung di sebalik jawatan lamanya dalam sebuah agensi kerajaan dengan menjalankan kegiatan pemalsuan lesen memandu dan kad pengenalan akhirnya tumpas selepas dia ditahan polis, Ahad lalu.
Lelaki berusia 57 tahun yang juga pesara awam terbabit ditahan di rumahnya di Binjai, Mulong, di sini, pada jam 6 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasukan serbuan pada awalnya melakukan pemeriksaan berhubung maklumat kecurian kenderaan, bagaimanapun menemui pelbagai barangan mencurigakan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pencetakan kad palsu terbabit.
Katanya, kesemua barangan yang digunakan untuk pemprosesan kad berkenaan termasuk enam komputer riba, cop tertera Pengarah Keselamatan dan Kesihatan, dua mesin pengimbas dan sebuah mesin cetak bernilai RM8,000 dipercayai dibeli dari Thailand dirampas.
“Turut ditemui di dalam bilik rahsia itu, 13 lesen memandu dan tiga kad pengenalan yang siap sedia untuk dihantar kepada pelanggannya. Sejumlah 61 kad berwarna putih yang menunggu masa untuk dicetak juga dijumpai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, semalam.
Menurutnya, suspek aktif menjalankan kegiatan pemalsuan itu sejak setahun lalu dan menyasarkan kenalan serta individu dari negara jiran yang mahukan kad identiti di negara ini serta memandu kenderaan di sini.
“Rata-rata kad ini menggunakan gambar pelanggan yang sebenarnya dan nombor kod negeri Kelantan, 03. Kad ini dijual kepada pelanggan dengan harga RM150 sehingga RM200 setiap satu dan hanya memakan masa seminggu untuk disiapkan.
“Jika dinilai melalui pandangan mata kasar, kad ini hampir 90 peratus sama berbanding kad tulen dan hanya dibezakan dengan warna yang sedikit pudar seperti kad lama serta cip yang tidak berfungsi. Tindakan suspek sangat berbahaya kepada negara,” katanya.
Mazlan berkata, suspek menjalankan kegiatan tersebut secara bersendirian dan dirahsiakan daripada pengetahuan ahli keluarganya. Mangsa juga kebanyakannya tidak mengetahui mereka ditipu dan menganggap suspek sebagai pemudah cara untuk mendapatkan kad berkenaan.
“Suspek seorang yang ‘low profile’, dia buat kerja ini sendiri, tidak mahu bantuan orang lain bimbang terbongkar. Mangsa mungkin datang kepada suspek kerana jawatan lamanya dan suspek menyatakan kesediaan untuk membantu, namun mereka tidak tahu kad yang diterima itu palsu serta dicetak suspek.
“Buat masa ini, suspek dikenakan perintah reman seminggu dan akan berakhir esok (hari ini). Tempoh remannya akan disambung esok (hari ini) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor