Pages

Friday, August 14, 2015

CABAR NYATAKAN SUMBER DANA POLITIK


Cabar nyatakan sumber dana politik


Rantau Panjang - Jika benar Harapan Baru tidak ditaja DAP, Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan mencabar pemimpin parti baharu itu menyatakan dana politik yang diperoleh ketika ini.

Presidennya, Razak Abas berkata, melihat kepada senario pentadbiran parti baharu, mereka memerlukan dana yang tinggi bagi melancarkan agenda politik sebelum pilihan raya.

Berdasarkan pengalaman ketika menyertai Semangat 46, katanya, parti yang lama terkubur itu juga, sebelum ini memiliki dana jutaan ringgit.

“Tak kan semua perbelanjaan atas poket ahli masing-masing tanpa sebarang bantuan mana-mana pihak.

“Masyarakat hanya memandang dana yang diperoleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan mereka tidak pula bertanya sumber dana Harapan Baru,” katanya.

Semalam, Pengerusi Harapan Baru, Mohamad Sabu menyangkal dakwaan Harapan Baru menerima dana daripada pihak tertentu, termasuk DAP dan menyifatkannya sebagai pembohongan nyata.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Harapan Baru tidak ada masalah untuk bergerak sendiri walaupun terpaksa berdepan masalah kewangan.

Dalam pada itu, Razak turut menyokong kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob, tidak akan bekerjasama dengan Harapan Baru.

Menurutnya, Harapan Baru dilihat tidak dapat menyumbang atau memberi kelebihan kepada Pas.

“Ketika pembentangan strategi Pilihan Raya Kecil di Pengkalan Kubor yang diketuai bekas Speaker Dun Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dulu pun kalah, inikan pula mahu berganding menjelang PRU,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad berkata, Pas membayangkan tidak akan bekerjasama dengan Harapan Baru yang ditubuhkan oleh beberapa ahlinya.

“Ia sebuah parti baharu yang dasar perjuangannya masih belum jelas, Pas dan Harapan Baru tak boleh bersama kerana berlainan parti politik, malah Pas sedia melawan parti baharu ini dalam pilihan raya umum,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor