
Kuala Lumpur - Himpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29 Ogos nanti bakal bertemu lawan dengan himpunan Menolak Bersih 4.0 yang dikatakan diadakan di hari yang sama, pada hujung bulan nanti.
Penganjur Himpunan Menolak Bersih 4.0, Datuk Jamal Yunus berkata, himpunan hujung bulan ini bakal diadakan bagi membantah penganjuran Bersih 4.0 yang diadakan pada hari yang sama.
"Kami semua akan berhimpun beramai-ramai di hadapan Plaza Low Yat dan akan bergerak menuju ke Dataran Merdeka pada hari himpunan Bersih 4.0 diadakan.
"Kami akan berhimpun seawal pagi pada hari tersebut. Kami akan berarak menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Pudu," katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan himpunan Menolak Bersih 4.0 (Jahat) di hadapan Kompleks Beli-belah Sogo, di sini, hari ini.
Seramai 30,000 peserta dari seluruh negara dijangka hadir bagi menunjukkan solidariti dalam menolak himpunan Bersih 4.0.
Menurutnya lagi, himpunan besar-besaran itu hanya akan dibatalkan sekiranya penganjur himpunan Bersih 4.0 membatalkan penganjuran himpunan.
"... kita tahu, kalau minta kebenaran polis pun, pihak polis tidak akan bagi (kebenaran). Himpunan membantah Bersih ini akan diteruskan sebagaimana himpunan Bersih 4.0 diteruskan," katanya lagi.
Ratusan individu memakai baju T berwarna merah membanjiri pekarangan Sogo bagi membantah dan menolak himpunan Bersih 4.0 yang bakal diadakan pada hujung bulan ini.
Kesemua mereka yang mengenakan baju T bertulisan 'Bersih 4 Keamanan' bertegas menolak penganjuran Bersih 4.0 yang dilihat mampu mewujudkan kekacauan serta menggugat ketenteraman awam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor