Segamat – Tiga lelaki yang bersenjatakan parang hanya mengambil masa kira-kira tiga minit sahaja untuk menyamun sebuah kedai 24 jam di Buloh Kasap, di sini, awal pagi semalam.
Pemilik kedai berkenaan, Soo Chin Lau, 42, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kesemua tindak tanduk suspek berjaya dirakam oleh dua kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai tersebut.
“Ketika kejadian, hanya ada seorang pekerja lelaki sahaja dan berdasarkan rakaman CCTV, dua suspek memakai topi keledar serta seorang lagi menutup muka menggunakan baju serta memegang parang.
“Dua suspek yang memakai topi keledar kemudian menggertak pekerja saya untuk menyerahkan kesemua wang tunai di kaunter, manakala seorang lagi suspek menjaga di luar kedai bagi mengelak tindakan mereka dikesan oleh orang awam," katanya.
Menurut Chin Lau, bimbang dicederakan suspek, pekerjanya telah menyerahkan wang tunai kira-kira RM5,000 dan suspek turut melarikan pelbagai kotak rokok dan kad prabayar.
"Ini merupakan kejadian pertama sejak saya berniaga di sini. Akibat kejadian ini juga, saya rugi kira-kira RM15,000.
"Saya juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan menyerahkan kes ini sepenuhnya kepada pihak polis. Saya juga berharap kesemua suspek dapat ditangkap secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan pihaknya juga sedang melakukan siasatan terperinci bagi mengesan suspek.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor