Polis percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini berikutan tertangkapnya seorang lelaki hasil serbuan ke atas sebuah rumah kedai di Lorong IM14/1, Taman Industri Ringan Prima Kota, Indera Mahkota di sini, malam kelmarin.
Susulan maklumat, sepasukan anggota Unit Risikan Jenayah (URJ) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuantan melakukan serbuan kira-kira jam 10 pagi sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 38 tahun berasal dari Taman Pandamaran, Klang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis berjaya menemui dan merampas barang kes yang disorok di atas bumbung bangunan dua tingkat yang menempatkan bengkel mengecat kenderaan.
Menurutnya, antara barang yang ditemui termasuk lampu, tali, sarung tangan dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam aktiviti pecah rumah.
“Suspek bersama barang rampasan termasuk kereta jenis Toyota Vios yang digunakan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta digunakan, polis turut menemui dua bilah parang, satu beg komputer riba mengandungi pelbagai peralatan pecah rumah, besi kuku kambing, produk penjagaan diri dipercayai hasil curi, pengimbas dan beg yang tertera nama individu lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Abdul Aziz berkata, hasil ujian air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia juga positif dadah jenis Amphetamine.
“Siasatan akan dijalankan terhadap suspek bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai kaitan dengan kes-kes pecah rumah yang pernah dilaporkan di sini sebelum ini.
“Pada masa sama, kita cuba mengenal pasti sama ada suspek bersendirian atau ada pembabitan individu atau kumpulan yang lain, bersamanya” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor