Georgetown - Seorang kanak-kanak tiga tahun cedera parah selepas tangannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat membeli belah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Ng Wei Kang bersama keluarganya berkunjung ke pusat beli belah berkenaan untuk membeli beberapa barangan keperluan.
Bapa mangsa, Ng Juen Shen, 34, berkata sebelum kejadian, dia melihat anak lelakinya itu berdiri dan memegang bahagian tepi tangga.
“Saya berdiri di hadapan manakala Wei Kang berdiri berdekatan saya sebelum saya terdengar bunyi meletup yang perlahan.
“Tidak lama kemudian saya dengar dia menjerit. Bila saya toleh, saya dapati tangan anak sudah tersepit pada eskalator,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Difahamkan, pasukan bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.
Kanak-kanak malang itu terus dikejarkan ke Unit Kecemasan HPP sebaik tangannya dikeluarkan.
Sementara itu, Juen Shen berkata, pasukan perubatan yang merawat anaknya mengesahkan tangan kanan anaknya hingga ke bahagian pergelangan hancur. “Semua jari tangan kanan anak saya hancur dan berkemungkinan dipotong kerana keadaannya yang parah.
“Doktor masih memantau keadaannya dan sehingga kini dia masih belum stabil serta tidak sedarkan diri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor